Ketika berlangsungnya majlis penutup Ekspo Automotif dan Teknologi Global 2025 (GATE 2025) minggu lalu, Proton dan Institut Robotik & IoT Automotif Malaysia (MARii) telah bertukar dokumen Kerjasama Strategik bagi membangunkan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC).
Perjanjian ini menandakan kerjasama strategik selama lima tahun yang merangkumi pembangunan NATC serta program pembangunan bakat yang memberi peluang kepada 200 jurutera dan kakitangan teknikal R&D Proton untuk mendapat pengalaman secara langsung melalui program latihan yang tersusun.
Dalam perjanjian ini Proton berkongsi beberapa fasiliti ujiannya sebagai sebahagian kemudahan di bawah NATC, termasuk Litar Ujian Separuh Kelajuan Tinggi di Shah Alam dan makmal ujian R&D di Tanjong Malim. Dalam masa yang sama MARii dan Proton akan bekerjasama untuk membangunkan fasiliti NATC yang baharu, dengan kedua-dua pihak akan menyumbang kepada kos pembinaannya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton dan MARii menyatakan bahawa NATC adalah pusat ujian bertaraf industri, dan ia akan dibuka kepada pengeluar (OEM), pemain industri, institusi penyelidikan serta institusi pengajian tinggi untuk tujuan pembangunan dan penyelidikan bersama. Operasi pusat ini akan diketuai oleh MARii dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Proton.
Ini bermaksud dengan penubuhan NATC ini Perodua boleh menggunakan litar ujian Proton di Shah Alam untuk menguji model-model baharunya pada masa hadapan, jika mereka mahu. Malah pengeluar-pengeluar lain seperti Chery atau BYD turut boleh membuat ujian kenderaan-kenderaan dalam versi pemanduan sebelah kanan masing-masing di kemudahan berkenaan.
Ini bukan kali pertama MARii membuat kolobrasi seperti ini. Sebelum ini ia telah pun membuka Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) pada 2018 yang dibiayai oleh Perodua.
“MARii komited menyokong agenda perindustrian negara seperti yang dirancang dalam Rancangan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020). Kerjasama ini bersama Proton memperkukuh keupayaan Malaysia dalam mobiliti generasi baharu menerusi perkongsian kemudahan ujian, pembangunan R&D yang tersusun serta peluasan kapasiti kejuruteraan bagi kenderaan tenaga baharu,” kata CEO MARii Azrul Reza Aziz.
“Perjanjian dengan MARii ini memperkukuh komitmen Proton terhadap industri automotif negara sambil menyumbang ke arah pencapaian matlamat Rancangan Induk Perindustrian Negara. Kami percaya NATC berpotensi besar dalam melahirkan teknologi dan model baharu, serta membantu merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai kuasa automotif serantau,” ujar CEO Proton, Dr. Li Chunrong.
The post Proton, MARii akan bangunkan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC); kongsi litar ujian dan makmal R&D appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















