Proton mengumumkan jumlah jualan terkumpulnya (domestik dan eksport) mencecah 15,575 unit pada Oktober 2025, sekaligus menjadi pencapaian bulanan tertinggi syarikat itu untuk tahun ini. Angka tersebut menunjukkan peningkatan 16.3% berbanding September 2025 yang merekodkan 13,395 unit. Secara keseluruhan, jumlah jualan tahun ini (YTD) bagi Proton kini mencapai 129,872 unit, meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berbeza dengan laporan bulan September, Proton tidak mendedahkan anggaran pegangan pasaran bagi Oktober. Namun, syarikat tetap berkongsi prestasi model-model utamanya.

Saga kekal sebagai penyumbang utama jualan dengan 8,373 unit diserah kepada pelanggan, jumlah tertinggi sejak Julai 2013. Menjelang pelancaran model baru Saga MC3, versi sedia ada (MC2) telah mencatatkan jumlah jualan YTD sebanyak 59,107 unit.

Bagi SUV popular Proton X50, yang menerima kemas kini besar pada Julai lalu, sebanyak 2,693 unit model facelift diserah pada Oktober. Antara Ogos hingga Oktober, jumlah penghantaran versi baru mencapai 10,418 unit. Jika digabungkan dengan model sebelum facelift, jualan keseluruhan tahun 2025 meningkat kepada 23,847 unit, sekali gus menunjukkan peningkatan 24.7% berbanding 2024.

Proton jual 15,575 unit kenderaan pada Oktober 2025

Model X70 pula kembali mencatatkan peningkatan dengan 680 unit terjual pada Oktober, naik 56.3% berbanding September, yang dianggarkan hanya sekitar 435 unit.

Sementara itu, sedan Proton S70 turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan 1,402 unit terjual, meningkat 43.2% berbanding bulan sebelumnya. Model X90 dan Persona juga menunjukkan peningkatan, masing-masing dengan 209 unit (+7.7%) dan 1,215 unit (+4.7%). Syarikat turut mengesahkan bahawa pengeluaran Proton Iriz telah ditamatkan dan model itu tidak lagi disenaraikan dalam laporan semasa.

Dalam segmen kenderaan elektrik (EV) Proton eMas, model eMas 7 mencatatkan 758 unit diserah pada Oktober, sedikit menurun daripada 845 unit pada September. Namun begitu, ia masih mengekalkan kedudukan sebagai EV paling laris di Malaysia tahun ini dengan jumlah keseluruhan 7,413 unit. Model lebih kecil, eMas 5, baru sahaja dilancarkan pada penghujung Oktober dan prestasinya dijangka dapat dilihat dalam laporan bulan November.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, dalam satu kenyataan berkata, “Kami amat berterima kasih atas sambutan hangat pelanggan terhadap model Proton Saga sedia ada. Minat yang tinggi terhadap model baru juga memberi keyakinan kepada kami menjelang pelancarannya. Kami turut menantikan permulaan penghantaran Proton eMas 5, yang diharap dapat mengukuhkan kedudukan Proton eMas sebagai jenama EV utama di Malaysia.”

The post Proton jual 15,575 unit kenderaan pada Oktober 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts