Jika anda berminat untuk memiliki mana-mana model EV Proton eMas, acara paultan.org Auto Car Expo (ACE) yang disokong oleh Carro and Kärcher berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) adalah tempat yang perlu dituju hujung minggu ini.
Ini kerana kedua-dua model jenama tersebut iaitu eMas 7 dan terbaharu eMas 5 yang lebih mampu milik ada dipamerkan oleh reruai dikendalikan ooleh Regal Motors EV, yang menyajikan pelbagai tawaran istimewa.
Untuk eMas 5, pengunjung boleh menempah model ini dengan rebat pelancaran RM3,000 yang ditawarkan sehingga akhir tahun, menjadikan harganya turun kepada RM56,800 untuk varian asas Prime dan RM69,800 untuk varian Premium yang dipamerkan di sini. Terdapat juga pandu uji yang disediakan untuk EV termurah di Malaysia buat masa sekarang ini.
Proton eMas 5 ini juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.
Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.
Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.
Untuk mengecas pula eMas 5 boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga penegcas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit.
Model lebih besar Proton eMas 7 turut dipamerkan di ACE 2025 juga dalam varian Premium. Kedua-dua varian Proton eMas 7 ini dibekalkan dengan satu motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork maksima 320 Nm.
Varian Prime yang dijual pada harga RM105,800 menerima bateri litium logam fosfat (LFP) bilah pendek keluaran Aegis berkapasiti 49.52-kWj bagi memberikan jarak gerak 345 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala varian Premium yang berharga RM119,800 pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj untuk jarak gerak WLTP 410 km.
Pengunjung ACE 2025 turut akan menikmati pelbagai tawaran dan hadiah menarik daripada kami di paultan.org. 200 tempahan terawal akan menerima baucar bernilai RM2,500 untuk filem penapis haba, cucian serta aksesori kenderaan daripada V-Kool, Dodomat, Kuzig Glanz Detailing, The Carage dan Harman Kardon.
Selain itu, setiap tempahan yang telah disahkan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama berupa percutian yang ditanggung sepenuhnya untuk dua orang bernilai RM10,000. Ada juga barisan produk Kärcher yang bernilai lebih daripada RM30,000 untuk dimenangi oleh 20 pemenang.
Selain Proton eMas, senarai jenama yang turut tampil antaranya ialah BMW dan MINI (diwakili oleh Wheelcorp Premium), Audi, Volkswagen, Zeekr (diwakili oleh Carro), Jaecoo, Chery, Jetour, Hyundai, Ford, BYD, Perodua, Proton, Isuzu dan smart (diwakili oleh EON). Semua jenama ini akan menawarkan promosi terbaik mereka sepanjang acara berlangsung.
Ada banyak masa lagi sekiranya anda mahu rebut tawaran-tawaran yang disediakan. ACE 2025 berlangsung bermula hari ini iaitu 8 November sehingga esok 9 November di SCCC, bermula 9 pagi hingga 7 malam.
The post Proton eMas di ACE 2025 – eMas 5 Premium dipamer; 325 km WLTP, RM70k, ada pandu uji disediakan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















