Proton eMas 7 PHEV baru sahaja dilancarkan di Malaysia dua bulan lalu. Namun hari ini Proton mengumumkan bahawa model berkenaan kini ditawarkan dengan warna hijau baharu yang dikenali dengan nama Emerald Green. Penawaran warna baharu ini tidak menggantikan mana-mana warna sedia ada iaitu Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Aquamarine Blue.
Juga tiada penambahan harga diumumkan di mana eMas 7 PHEV ini masih dijual pada bermula RM109,800 untuk varian asas Prime, RM123,800 untuk varian Premium dan RM129,800 untuk varian tertinggi Premium Plus. Dengan rebat pelancaran bernilai RM4,000, harga akhir untuk setiap varian adalah masing-masing RM105,800, RM119,800 dan RM125,800. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.
Semua varian digerakkan unit rangkaian kuasa EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang menampilkan enjin 1.5 liter NA BHE15PFI berkuasa 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan tork maksima 125 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork maksima 262 Nm.
Gandingan berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan tork maksima 262 Nm, di mana kesemuanya digunakan untuk memacu roda hadapan.
Bagi varian Prime dan Premium, motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri litium loga fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh CATL berkapasiti 18.4-kWj, membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 83 km, dan 943 km dengan gandingan satu cas bateri penuh dan satu tangki penuh petrol.
Manakala varian Premium Plus, ia dibekalkan dengan bateri LFP Aegis bilah pendek keluaran Geely berkapasiti 29.8-kWj, memberikan jarak gerak EV sejauh 146 km dan 996 km dengan gandingan satu cas bateri penuh dan satu tangki penuh petrol.
Untuk mengecas pula, varian Prime dan Premium menyokong pengecas pantas DC sehingga 30 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa tidak sampai 20-minit. Manakala varian Premium Plus pula boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 60 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 30-80% dalam masa kurang 16-minit. Kesemua varian juga boleh menggunakan pengecas AC onboard 7-kW.
Menurut Proton, varian Prime dan Premium boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat, sementara varian Premium Plus pula memerlukan masa 8.2 saat untuk pecutan yang sama. Manakala ketiga-tiga varian mencatatkan kelajuan maksima yang sama iaitu 170 km/j, serta diberikan fungsi vehicle-to-load (V2L) dan vehicle-to-vehicle (V2V).
The post Proton eMas 7 PHEV kini ada warna <em>Emerald Green</em> appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















