Sejak mula dibuka untuk tempahan bermula sebulan setengah yang lalu, Proton eMas 7 PHEV kini telah menerima lebih daripada 3,500 tempahan. Model berkenaan dilancarkan secara rasmi sejak 4 Februari lalu.
Pro-Net selaku pengedar jenama Proton eMas memaklumkan, angka tempahan yang sangat menggalakkan ini adalah isyarat penerimaan yang meyakinkan daripada pasaran. Disifatkan sebagai naik taraf yang praktikal dari kenderaan ICE biasa, eMas 7 PHEV menawarkan peralihan yang lancar ke arah mobiliti elektrifikasi, dan dalam masa yang sama mengekalkan kebiasaan enjin konvensional.
“Melepasi 5,000 serahan dalam tempoh hanya dua bulan dan mencapai lebih daripada 3,500 tempahan untuk eMas 7 PHEV dalam tempoh sebulan setengah jelas menunjukkan penerimaan yang semakin rancak terhap mobiliti elektrifikasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini juga mengesahkan bahawa strategi kami untuk menawarkan penyelesaian pengangkutan berasaskan elektrikfikasi yang praktikal untuk pasaran tempatan adalah tepat,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang.

Proton eMas 7 PHEV menggunakan sistem EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang terdiri daripada enjin 1.5 liter NA BHE15PFI (sama seperti enjin Saga MC3) dengan janaan 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan 125 Nm tork, dan menggandingkannya dengan sebuah motor elektrik di depan dengan output 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 262 Nm — dengan enjin kitaran Atkinson. Output maksimum PHEV ini ialah sebanyak 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan 262 Nm yang disalurkan ke roda depan. Sistem ini mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 996 km WLTP.
Ketika pelancarannya, SUV PHEV berkenaan ditawarkan dalam tiga varian: Proton eMas 7 PHEV Prime (RM109,800); Proton eMas 7 PHEV Premium (RM123,800); dan Proton eMas 7 PHEV Premium Plus (RM129,800). Perincian lanjut tentang spesifikasinya ada di sini.
The post Proton eMas 7 PHEV — 3.5k tempahan dalam 1.5 bulan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















