SUV segmen-C EV Proton eMas 7 kini dilancarkan pada satu lagi pasaran eksport iaitu Mauritius. Di sana, Proton diuruskan oleh Kumpulan Autonexx yang telahpun menjual beberapa model Proton dengan enjin pembakaran dalaman yang lain termasuk X50, X70 dan X90.
Sama seperti Malaysia eMas 7 ditawarkan dalam dua varian; varian Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran Rs 1,690,000 (sekitar RM157k), dan juga varian tertinggi Premium dijual pada harga Rs 1,850,000 (RM172k). Ia dilindungi oleh waranti kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 km dan waranti bateri voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000 km.
Untuk promosi pelancaran pula, 30 pembeli terawal kedua-dua varian ini akan menerima pengecas wallbox dan kad e.motion secara percuma, manakala varian Premium akan menerima ganjaran tambahan iaitu ima tahun servis percuma atau 150,000 km.
Kedua-dua varian Proton eMas 7 di Mauritius ini juga masih dibekalkan dengan satu motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork maksima 320 Nm. Varian Prime menerima bateri litium logam fosfat (LFP) bilah pendek keluaran Aegis berkapasiti 49.52-kWj bagi memberikan jarak gerak 345 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala varian Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj untuk jarak gerak WLTP 410 km.
“Pengenalan eMas 7 di Mauritius merupakan sebahagian daripada strategi berterusan Proton untuk mengembangkan portfolio EV kami di peringkat global. Setiap pelancaran baharu mengukuhkan lagi kehadiran antarabangsa Proton dan membuktikan keupayaan kami untuk menghasilkan kenderaan yang menggabungkan teknologi, prestasi dan nilai. Kilang EV di Tanjong Malim akan menjadi pemangkin kepada pembangunan generasi baharu model elektrik untuk pasaran dunia,” kata Edmund Lim Meng Thong, CEO Proton International Corporation.
Selepas dilancarkan di Malaysia pada Disember tahun lalu, eMas 7 telah pun dieksport dan dilancarkan di beberapa negara termasuk Nepal dan Singapura. Menurut Proton, eMas 7 kini merupakan model ketiga paling popular bagi pasaran eksport selepas Saga dan X50.
The post Proton eMAs 7 dilancarkan di Mauritius – dua varian iaitu Prime dan Premium, bermula RM157k-RM172k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















