Anak syarikat Proton, Proton New Energy Technology (Pro-Net) telah mengumumkan menerima sebanyak 3,000 tempahan untuk eMas 5 bagi tempoh seminggu pertama sejak mula mengambil tempahan untuk model elektrik kedua jenama itu, yang bermula pada 4 Oktober lalu. Syarikat itu juga memaklumkan, untuk tempoh 24 jam pertama selepas mengumumkan harga anggarannya, 1,607 tempahan telah diterima.
Dengan harga anggaran bermula RM60,000 untuk varian Prime yang paling asas, eMas 5 dijangka akan menjadi EV paling mampu milik di Malaysia. Varian Premium dengan jarak perjalanan lebih jauh pula dianggarkan akan dijual pada harga RM80,000. Proton juga memberikan promosi untuk 5,000 pembeli terawal dengan menawarkan kad Touch ‘n Go NFC edisi terhad dengan baki bernilai RM100, serta rebat RM500 untuk yuran tempahan.
Varian Prime menggunakan unit motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm dengan laju maksimum sehingga 125 km/j. Ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 30.12 kWj yang memberikan jarak sekitar 225 km mengikut kitaran WLTP. Model ini juga mempunyai tiga mod pemanduan — Sport, Eco dan Comfort.
Untuk varian Premium yang paling lengkap, ia menggunakan bateri jenis sama, lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj, dengan unit motor elektrik dari jenis 11-dalam-1 yang bersepadu, diletakkan di bahagian belakang. Bagi EV, ini adalah kereta pacuan roda belakang pertama oleh Proton. Motor untuk varian tertinggi ini menjana sebanyak 85 kW kuasa dan 150 Nm tork. Untuk prestasi, pecutan 0-50 km/j (bukan 100 km/j) boleh dicapai dalam masa 3.9 saat.
Jika mengikut kitaran WLTP, ia memberikan jarak sejauh 325 km dengan sekali cas. Untuk tempoh pengecasan, eMas 5 ini menampung pengecasan pantas DC maksimum sehingga 71 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan kapasiti 6.6 kW. Bagi SoC dari 30% hingga 80%, ia boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja (untuk DC).
Dalam hebahan media yang sama, Pro-Net turut menyentuh tentang eMas 7, dan mendedahkan model EV pertama keluarannya itu telah mencapai jualan terkumpul sebanyak 6,655 unit setakat 30 September 2025. Daripada jumlah itu, 6,212 unit dijual di pasaran tempatan, dan baki 443 unit di pasaran eksport. eMas 7 merupakan EV paling laris di Malaysia tahun ini dengan kadar perkongsian pasaran 24%.
The post Proton eMas 5 terima 3,000 tempahan untuk minggu pertama — jualan terkumpul eMas 7 cecah 6,655 unit appeared first on Paul Tan’s Automotive News.