Sudah banyak maklumat berkaitan Proton eMas 5 (yang diambil dari model kembarnya, Geely Xingyuan) untuk pasaran tempatan telah kita ketahui. Paling tidak, maklumat rasmi berkaitan varian paling tinggi Premium sudah pun disahkan. Harganya pula sudah diberi bayangan ketika model hatchback segmen B ini mula dibuka untuk tempahan.
Bagi varian paling asas Prime, diumumkan harga anggarannya RM60,000, sementara varian Premium yang paling lengkap pula dengan anggaran RM80,000 — menjadikannya EV paling murah di Malaysia ketika ini, dan rasa ingin tahu ke atasnya juga semakin meningkat disebabkan itu.
Mengikut perancangan, Proton eMas 5 akan dilancarkan dalam masa terdekat. Dan, pengesahan harga akhir akan diumumkan kelak. Tetapi ada satu lagi kemaskini yang ingin kami bawakan kepada anda: awal minggu ini kami berkesempatan untuk memandu uji secara ringkas eMas 5 di dalam litar ujian Proton, dan itu sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang penawaran aspek pemanduan EV tersebut.
Unit yang tersedia di litar ujian Proton untuk tujuan ini hanya ada satu, varian Proton eMas 5 Premium yang paling lengkap. Sebelum ke pengalaman pemanduannya, elok kita lihat dulu perincian spesifikasi varian ini, seperti yang telah didedahkan oleh Proton ketika taklimat pra-tonton model tersebut awal Ogos lalu.
Proton eMas 5 mempunyai ukuran dimensi 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,580 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm — menjadikannya hatchback yang sedikit lebih tinggi berbanding BYD Dolphin. Bahagian “frunk”-nya menyediakan 70 liter ruang simpanan, sementara di belakang dengan 375 liter yang boleh ditambah menjadi 1,320 liter sekiranya penyandar kerusi belakang direbahkan.
Untuk versi Premium yang paling lengkap, ia akan menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj (berbeza dengan Proton eMas 7 yang menggunakan bateri Aegis Geely).
Motor elektriknya adalah unit dari jenis 11-dalam-1 bersepadu, yang diletakkan di bahagian belakang. Bagi EV, ini adalah kereta pacuan roda belakang pertama oleh Proton. Motor berkenaan menjana sebanyak 85 kW kuasa dan 150 Nm tork. Untuk prestasi, pecutan 0-50 km/j (bukan 100 km/j) boleh dicapai dalam masa 3.9 saat.
Jika mengikut kitaran WLTP, eMas 5 boleh memberikan jarak sejauh 325 km sekali cas — dengan kemampuan pengecasan pantas DC maksimum sehingga 71 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan kapasiti 6.6 kW. Bagi SoC dari 30% hingga 80%, ia boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja (untuk DC).
Dalam taklimat ringkas terbaru yang diberikan, Proton juga berkongsi kiraan kasar kos elektrik untuk pengecasan eMas 5 bagi tempoh 10 tahun dengan penggunaan sejauh 2,000 km sebulan. Untuk kadar penggunaan 12.3 kWj/100 km dan kadar tarif RM0.4183/kWj (tarif di luar waktu puncak), kos keseluruhan untuk pengecasan model ini ialah RM12,448.80.
Sementara penggunaan petrol untuk masa yang sama berdasarkan kadar penggunaan 8.0L/100 km dan kadar Budi95 dengan RM1.99 seliter, kos keseluruhan untuk tempoh sama yang perlu dikeluarkan oleh pengguna ialah RM38,208.
Dan, jika mengambil kira perbandingan kos penggunaan tenaga tersebut dengan anggaran kos penyelenggaraan dan cukai jalan bagi tempoh yang sama, kos bagi eMas 5 adalah 189% lebih rendah berbanding kereta dengan enjin biasa. Ini adalah angka yang meyakinkan, dan menarik untuk diperhati serta disahkan berdasarkan pengalaman sebenar sekiranya anda ingin beralih kepada EV ini.
Di dalam, antara kelengkapan yang ada ialah papan pemuka yang sama dari Xingyuan dengan stereng yang sudah dialih ke sebelah kanan. Roda stereng dua jejari serta konsol tengah yang menempatkan ruang telefon, butang kawalan pendingin serta tombol pemilih gear. Warna kabin juga akan ditawarkan dalam dua warna, iaitu putih dan hitam.
Bahagian depan tersedia skrin infotainmen 14.6-inci yang menggunakan perisian Atlas (seperti Proton X50) dan bukannya sistem Flyme Audio seperti model Xingyuan. Ini bermakna, ia akan turut dilengkapi dengan ciri arahan suara dalam Bahasa Malaysia seperti X50. Tidak lupa, ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar juga disertakan dari awal.
Khusus untuk model EV ini adalah ciri peta kemudahan pengecasan “live” bersepadu, yang boleh dicapai melalui sistem navigasi binaan dalam atau aplikasi pintar eMas seperti untuk eMas 7. Masih di dalam, kluster instrumen adalah melalui skrin 8.8-inci LCD, begitu juga dengan kerusi dan stereng balutan kulit. Untuk audio, tersedia enam-pembesar suara semuanya.
Kami hanya meluangkan masa yang sangat singkat sebenarnya ketika sesi berkenaan: dua pusingan di laluan luar untuk merasakan prestasi pecutan dan kestabilannya di selekoh, serta dua pusingan di laluan dalam untuk merasakan dinamik pemanduan dan kendalian.
Ada beberapa tanggapan awal yang sempat kami perhatikan berkaitan EV ini. Setelah melihat unit yang tidak dikenakan pelekat samaran, ia nampak kompak reka bentuk yang mungkin lebih cenderung disukai oleh mereka yang muda dan menggemari penampilan comel dan berlengkung.
Tetapi, lebih penting daripada itu adalah ruang kabinnya dirasakan cukup luas berbanding ketika dilihat dari luar. Di depan, ruang kaki dan kepala serta ruang di antara penumpang sebelah membolehkan kami duduk dengan selesa. Cuma, untuk pemandu, dalam percubaan untuk menetapkan posisi pemanduan yang ideal, perlu ambil maklum yang sterengnya hanya datang dengan larasan atas-bawah (tilt), dan tidak ada larasan jauh-dekat (teleskopik).
Dari segi respon pemanduan, eMas 5 memberikan pengalaman awal yang sangat menyenangkan. Ia terasa ringan dan dengan janaan kuasa yang diberikan, EV ini cukup mudah untuk mula bergerak. Cuma, ketika dikerah pedalnya sampai ke lantai untuk memecut habis, ia perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan tenaga dan lajak yang diperlukan.
Di laluan tebing condong dan selekoh, eMas 5 terasa cukup stabil dan mampu memegang selekoh dengan baik. Ini berkait dengan nisbah kuasa kepada berat yang ada padanya. Namun, dalam kebanyakan situasi, hantaran kuasanya adalah linear — disesuaikan untuk penggunaan harian dan oleh pelbagai golongan pemandu.
Dalam laluan slalom, pusingan angka 8 dan juga brek kecemasan, dengan empat orang dewasa di dalam kereta terbabit, eMas 5 juga tidak mengecewakan. Ia bukan ingin menjadi sebuah kereta dengan prestasi tinggi, tetapi untuk tujuan rekaan dan penggunaannya, EV ini cukup bertenaga dan mudah dikendalikan. Terutama dengan pacuan roda belakang yang ada padanya: dalam banyak keadaan, itu membantu memudahkan kereta ini keluar dari keadaan dan keperluan lincah seperti itu.
Kemudian, duduk di kerusi belakang juga akan disapa dengan ruang yang luas dan selesa. Keselesaan ini kami yakin turut disumbangkan oleh tetapan suspensi multi-link yang digunakan untuk bahagian belakang, berbanding jenis torsion beam yang diguna untuk kebanyakan model dalam kelas yang sama, termasuk kereta dengan enjin biasa, atas sebab kos yang lebih rendah. Ini menjadi kelebihan untuk eMas 5. Perlu juga dinyatakan, aspek “ride & handling” kereta ini adalah sama seperti model di China, tanpa sebarang input dan talaan daripada Proton — mungkinkah ia akan jadi lebih mengujakan dengan talaan Proton?
Untuk memecut, walaupun eMas 5 bermula dengan rasa yang sedikit berat pada awalnya, tetap mampu mencapai kelajuan tinggi dengan lancar setelah itu. Dan ketika brek kecemasan, kereta ini akan berhenti sepenuhnya dalam jarak 36.9 meter. Radius pusingannya ialah 4.95 meter.
Dari segi kemampuan pemanduan dan kendaliannya, pengalaman singkat tersebut berhasil menunjukkan sisi berkenaan dengan baik oleh eMas 5. Ini jika ditambah dengan penawaran harga akhir yang sekiranya masih menjadikan model ini EV paling mudah di Malaysia, maka eMas 5 mungkin akan jadi model peralihan dari kereta biasa kepada EV yang berbaloi jika ingin mencuba. Kita tunggu pelancaran rasminya nanti.
Proton eMas 5 di litar ujian
The post Proton eMas 5 — tanggapan awal pemanduan ringkas appeared first on Paul Tan’s Automotive News.