Selepas bahagian dalamannya didedahkan sepenuhnya Ogos lalu, Proton hari ini mendedahkan pula bahagian luaran penuh tanpa pelekat penyamaran untuk EV terbaharunya iaitu eMas 5, sebelum pelancaran penuhnya dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini.
Proton eMas 5 ini akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium. Harganya masih belum diketahui kerana ia hanya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti. Namun Proton memberikan bayangan bahawa varian asas Prime akan dijual pada harga sekitar RM60,000, manakala varian tertinggi Premium pula akan dijual pada harga sekitar RM80,000.
Juga buat masa ini Proton hanya mendedahkan eMas 5 hanya dalam varian Premium, manakala untuk varian Prime yang lebih murah mungkin hanya akan ditayangkan Khamis nanti.
Walau bagaimanapun, pendedahan penuh untuk eMas 5 hari ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana rupa luaran hatchback ini sama sepenuhnya dengan kembarnya di China iaitu Geely Geome Xingyuan/Star Wish, dengan perbezaan hanya pada logo Proton di hadapan dan skrip ‘PROTON’ serta lencana eMas 5 di pintu tailgate belakang.
Proton juga menawarkan pilihan warna yang sama seperti Geely Xingyuan iaitu Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey untuk semua varian, serta Marble Cream dan Quartz Rose hanya untuk varian Premium.
Pada bahagian kabin pula secara standard eMas 5 menerima kemasan dalaman berwarna Flint Grey, manakala pembeli varian Premium yang memilih warna eksklusif Marble Cream dan Quartz Rose akan diberikan kemasan dalaman Alabaster White yang lebih cerah.
Setakat ini Proton mengesahkan bahawa varian asas akan menerima perincian seperti lampu hadapan halogen, rim besi 16-inci, tempat duduk hadapan larasan manual, sistem penghawa dingin manual dengan liang hembusan kabin belakang dan juga upholsteri kulit sintetik.
Manakala bagi varian Premium, boleh dilihat ia menerima perincian lebih baik seperti lampu hadapan LED, bumbung berwarna hitam, rim aloi 16-inci dua tona, enam pembesar suara kamera 360-darjah dab pintu tailgate belakang bantuan kuasa.
Untuk infotainmen, eMas 5 diberikan skrin bersaiz 14.6-inci yang beroperasi dengan OS Atlas Proton. Ia menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta menampilkan fungsi arahan suara Bahasa Melayu “Hi eMas” dan fungsi khas untuk EV seperti navigasi pencarian stesen-stesen pengecas.
Proton eMas 5 ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,580 mm dna juga jarak roda sejauh 2,650 mm. Hatchback ini menyediakan ruang kargo pada but belakang dengan kapasiti 375 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,320 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Ia turut diberikan ruang frunk di hadapan dengan kapasiti simpanan 70 liter.
Proton eMas 5 ini juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.
Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.
Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-150 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.
Untuk mengecas pula eMas 5 boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga penegcas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit.
Hanya tinggal dua hari sebelum model ini dilancarkan, dan ia bakal menjadi EV paling murah di Malaysia setakat ini kelak. Proton sebenarnya sudahpun membuka tempahan eMas 5 pada awal bulan ini, dan sehingga minggu lalu ia telahpun menerima sebanyak 4,000 tempahan.
Kami juga telah diberi peluang untuk memandu eMas 5 ini di litar ujian Proton Shah Alam tempoh hari, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
The post Proton eMas 5 didedahkan sepenuhnya – bermula RM60k hingga RM80k, harga sebenar diumum 30 Okt appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















































































































































































