Proton eMas 5 yang dijadual dilancarkan tahun ini akan terlebih dahulu dibawa pusing keliling ke seluruh Malaysia bermula Ogos hingga Oktober nanti, bagi membolehkan orang ramai mendekatinya. Beberapa lokasi tumpuan umum serta premis pengedar Proton eMas akan terlibat. Ini juga boleh dijadikan isyarat kepada tempoh pengenalan rasminya: mungkinkah model ini akan dilancarkan selepas selesai siri jelajah ini?
“Proton eMas 7 kini sudah menjadi EV paling laris di Malaysia, dan kami percaya cara terbaik untuk terus membina kepercayaan dan momentum adalah dengan Proton eMas 5 yang bakal dilancarkan, dan itu perlu dilakukan secara bersemuka.”
“Dengan siri jelajah MISI 5, orang ramai berpeluang untuk mendekati Proton eMas 5 secara langsung dan mengetahui perincian produk,” jelas Ketua Pegawai Operasi Pro-Net, Zhang Qiang dan menambah kereta berkenaan disasarkan untuk pengguna dan keluarga muda, dan juga pengguna EV pertama kali.
Pengunjung akan disediakan dengan pendekatan menyeluruh tentang kereta ini yang akan dipamerkan serta ada juga elemen interaktif yang menanti di lokasi. Tentang aspek pengecasan EV terbaru ini, Pro-Net juga menyebutkan yang ia boleh dicas mencapai 80% dalam masa yang “kurang dari tempoh rehat makan tengahari.”
Siri jelajah ini akan bermula di Bahagian Tengah dari 9-17 Ogos dengan eMas 5 akan muncul di lokasi seperti Batu Caves, Masjid Putra, Pasar Seni, KLCC dan Jambatan Saloma, sementara akan pertontonkan juga di cawangan seperti berikut:
- 9 Ogos: SG Car (Shah Alam), Wheelcorp (Setia Alam), EON (Glenmarie) dan AJG (Puchong)
- 10 Ogos: AJG (Sri Kembangan), Jawira (Balakong), ProAuto (Kajang) dan Jewel Sonic (Putrajaya)
- 16 Ogos: Able Mobility (Cheras), MBF EV (Jalan Tun Razak), Cahaya (Segambut) dan Igreen (Setapak)
- 17 Ogos: Pantai Bharu (Rawang), EON (Damansara), Regal Motor (Petaling Jaya) dan Peringgit (Jalan Klang Lama)
Proton eMas 5 dijangka akan berkongsi spesifikasi mekanikalnya dengan Geely Star Wish/Xingyuan, termasuklah motor pacuan roda belakang dengan janaan 79 PS/130 Nm dan 116 PS/150 Nm yang digandingkan bersama bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 30.12 kWj (untuk jarak perjalanan 310 km CLTC) dan unit 40.16 kWj (dengan jarak 410 km).
The post Proton eMas 5 akan dipamer dalam siri jelajah MISI 5 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.