Proton telah mengesahkan bahawa ia akan memasang komponen utama untuk model-model EVnya seperti unit motor elektrik dan juga transmisi khas hibrid (DHT) di Tanjong Malim sebagai salah satu langkah untuk mengembangkan lagi kapasiti pengilangan kenderaan dan unit rangkaian kuasa di fasiliti utamanya yang terletak di Perak itu.

Perkara ini diumumkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh DRB-Hicom petang tadi sebagai respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tempoh hari bagi menegaskan dasar pelaburan dan sektor automotif negara sebagai respons terhadap kekeliruan berkenaan pelaburan CKD BYD yang timbul awal minggu ini.

Menurut Proton, pemasangan tempatan untuk komponen-komponen utama ini akan menyokong barisan model-model kenderaan dengan teknologi elektrifikasinya, termasuk hibrid dan elektrik penuh. Namun tiada sebarang perincian lain seperti skala dan garis masa didedahkan oleh Proton, di mana ia hanya menyatakan bahawa kebolehan teknologi dan pengilangan termaju ini akan dipacu oleh pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim. Proton memainkan peranan utama di dalam projek AHTV berkenaan sebagai hab nasional.

Syarikat itu menyatakan bahawa AHTV akan menjadi tumpuan utama bagi pembuatan termaju, pembangunan bakat dan penyelidikan dan pembangunan, yang semuanya bertujuan untuk memperkukuh daya saing jangka panjang Malaysia dalam mobiliti masa hadapan. Ia turut menegaskan bahawa projek itu, bersama-sama dengan usaha lain, mencerminkan komitmennya untuk memajukan kepakaran tempatan, mempercepat pemindahan teknologi dan meletakkan Malaysia sebagai pemain yang berdaya saing dalam peralihan global ke arah elektrifikasi.

Proton akan pasang motor elektrik dan transmisi hibrid untuk EV di Tg. Malim, sokong dasar MITI

Syarikat itu menambah bahawa sebagai pengeluar peralatan asli (OEM) automotif tempatan pertama di Malaysia, ia telah memainkan peranan penting dalam membangunkan rangkaian vendor sokongan negara, dengan komitmennya terhadap ekosistem tempatan diserlahkan melalui nilai pembelian tempatan lebih daripada RM17 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu (2021–2025), dan ia diunjurkan meningkat kepada kira-kira RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang (2026–2030).

Proton menyatakan ia akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk kementerian dan agensi kerajaan, bagi memastikan strategi dan pelaburannya kekal sejajar dengan agenda nasional yang lebih luas yang digariskan melalui Dasar Automotif Negara (NAP).

“Kami komited sepenuhnya untuk menyokong aspirasi perindustrian dan mobiliti jangka panjang kerajaan dengan memperkukuh ekosistem automotif tempatan, membangunkan bakat Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan industri yang mampan,” kata pengerusi Proton dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar.

“Melalui kerjasama erat dan berterusan dengan kerajaan dan pihak berkepentingan industri, Proton akan terus memainkan peranannya dalam memastikan industri automotif Malaysia kekal relevan dan berdaya saing seiring dengan perkembangannya,” tambahnya.

The post Proton akan pasang motor elektrik dan transmisi hibrid untuk EV di Tg. Malim, sokong dasar MITI appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts