Harga bahan api buat masa sekarang nampaknya semakin lama semakin tidak mesra poket. Jadi sekiranya anda masih belum yakin dengan kenderaan elektrik penuh (EV), teknologi hibrid adalah antara alternatif yang baik. Justeru, bagi bulan April 2026 Honda Malaysia hadir dengan promosi yang mengutamakan model-model hibrid menerusi kempen ‘Choose Your Hybrid Joy’.
Promosi ini menawarkan diskaun untuk model-model baharu yang dibuat pada tahun 2026. Sekiranya anda berminat dengan Honda City sedan, varian hibrid e:HEV RS datang dengan diskaun RM12,000. Varian lain sedan segmen-B ini juga diberikan diskaun sebanyak RM10,000.
Manakala untuk City Hatchback, varian hibrid e:HEV RS diberikan diskaun sebanyak RM10,000 manakala varian lain diberikan diskaun sebanyak RM8,000. SUV segmen-B Honda HR-V pula diberikan diskaun RM11,000 untuk varian hibrid, dan RM8,000 untuk varian lain.
Promosi ini turut melibatkan sedan segmen-C Honda Civic di mana varian hirbid e:HEV RS diberikan diskaun sebanyak RM12,000, manakala varian E dan V diberikan diskaun RM7,000 serta varian Turbo RS diberikan diskaun RM10,000. Untuk bulan ini, tiada lagi diskaun ditawarkan untuk hot-hatch Honda Civic Type R.
SUV segmen-C CR-V yang baru sahaja dikemaskini bulan lalu juga tidak terkecuali dalam promosi ini di mana varian hibrid e:HEV E dan e:HEV RS ditawarkan dengan diskaun RM9,000, manakala varian Turbo V hadir dengan diskaun sebanyak RM7,000.
Namun sekiranya anda mahukan EV, Honda Malaysia turut ada model yang boleh anda pilih iaitu SUV EV segmen-B Honda e:N1 – ia ditawarkan dengan diskaun RM34,000, menjadikan harga jualannya kini hanya RM115,900. Walau bagaimanapun untuk e:N1 ini, ia adalah model yang dihasilkan pada 2025.
Jadi jika anda berminat dengan promosi ditawarkan ini, jangan berlengah kerana ia hanya untuk kereta-kereta yang didaftarkan bermula hari ini sehingga 30 April nanti.
The post Promosi Honda Malaysia untuk April 2026 – diskaun besar untuk varian hibrid City, Civic, HR-V dan CR-V appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















