Pada awal 2021, Johor sudah mula menguji Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) iaitu sistem tren tanpa pemandu yang tidak menggunakan landasan keretapi, bukan sahaja untuk membawa penumpang dari stesen RTS Link di Bukit Chagar yang bakal beroperasi pada 2027, malah untuk menguraikan kesesakan jalan raya di sekitar Johor Bahru dan bandar Iskandar Malaysia yang kini semakin sibuk.
Jadi apa perkembangan projek ini? Menurut menteri pengangkutan Anthony Loke dalam laporan Bernama, pembangunan sistem itu masih berjalan dan tidak pernah ditangguhkan dan ia kini berada di peringkat penilaian permohonan cadangan (RFP) serta sedang diperhalusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) selepas beberapa syor yang diterima belum memenuhi keperluan.
“Sudah tentu pihak kementerian akan berbincang dengan pihak UKAS untuk mempercepatkan proses penganugerahan kepada projek itu dalam masa terdekat,” katanya.
Baru-baru ini Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi kelak.
“Sehingga kini, tiada penyelesaian menyeluruh disediakan bagi menampung peningkatan jumlah trafik termasuk pelaksanaan sistem ART bertingkat (elevated ART) atau alternatif pengangkutan lain di kawasan sekitar Bukit Chagar.
“Kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan sekiranya penyelesaian bertingkat sepenuhnya dilaksanakan. Namun begitu, Pulau Pinang mampu memperoleh projek LRT yang jauh lebih mahal berbanding sistem ART,” kata Tunku Ismail menerusi hantaran yang dibuat menerusi akaun Facebook rasminya.
Minggu lalu Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mendesak kerajaan Persekutuan mempercepatkan kelulusan projek pengangkutan rel sebagai persediaan menjelang pengoperasian penuh RTS Link Johor Bahru-Singapura pada 2027.
Menurutnya kerajaan negeri terbuka bagi pilihan pengangkutan rel jenis ART atau Projek Transit Aliran Ringan (LRT), namun ia perlu dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun depan. Johor telah memulakan ujian ART ini bermula pada April 2021. Dalam perancangan awalnya ketika itu, projek ini diumum mampu menghubungkan 55 laluan perantara dan 44 laluan terus dengan laluan utama merangkumi 33 stesen.
The post Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Johor tidak ditangguh, kini dalam peringkat RFP – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















