Majlis pecah tanah bagi projek penyuraian trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) telah pun disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.
Projek sepanjang 17.3 kilometer ini merupakan antara inisiatif strategik berimpak tinggi kerajaan bagi menangani isu kesesakan trafik serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara, khususnya di utara Semenanjung Malaysia.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), masalah kesesakan trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua telah berlarutan bertahun-tahun lamanya akibat pertambahan jumlah kenderaan yang ketara.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya, malah turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi setempat termasuk di kawasan Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai.

“Cadangan projek ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024 susulan pelaksanaan kajian analisa trafik oleh Kementerian Kerja Raya. Kajian tersebut mendapati lebih 200,000 pengguna harian menggunakan jajaran ini melibatkan pengguna dari arah utara dan selatan serta komuniti tempatan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, pelaksanaan projek ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik dengan 30% daripada pengguna akan beralih ke laluan terus baharu Juru–Sungai Dua yang disediakan. Sekaligus, masa perjalanan semasa waktu puncak akan dapat dipendekkan daripada satu jam kepada hanya 20 minit.
“Projek ini akan dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka selaras dengan dasar Kerajaan untuk menggalakkan persaingan sihat serta kos projek yang kompetitif. Ini akan melibatkan komponen pembinaan utama iaitu pembinaan laluan terus dari Plaza Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua, menaik taraf Persimpangan Juru Utara (Auto City) dengan penyediaan pusingan-U bertingkat, serta pembinaan jalan susur baharu dari Perai ke Juru.
“Selain itu, projek ini turut melibatkan naik taraf Persimpangan Timur-Barat bagi mengurangkan masa menunggu di lampu isyarat dan pembinaan jalan susur bertingkat baharu di Jalan Tun Hussein Onn bagi melancarkan aliran trafik keseluruhan di kawasan tersebut,” katanya lagi.
Projek ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM3 bilion yang akan dibiayai secara hibrid, iaitu 60% melalui peruntukan Kerajaan dan 40% oleh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad). Tempoh pembinaannya ialah selama 48 bulan dengan kerja fizikal bagi Pakej 1 dijadualkan bermula pada November 2025, manakala pakej-pakej lain akan dimulakan pada pertengahan tahun 2026. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2030.
“Sepanjang tempoh pembinaan, KKR memberi jaminan bahawa Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan) yang teliti akan dilaksanakan supaya gangguan kepada pengguna dapat diminimumkan. Semua langkah keselamatan serta penyuraian sementara akan dipantau rapi oleh pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan kesejahteraan pengguna dan keselesaan pemanduan sentiasa terpelihara,” tambahnya lagi.
The post Projek penyuraian trafik antara Plaza Tol Juru-Sg Dua – 17.3 km, kos RM3b, dijangka siap tahun 2023 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















