Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan Penjejak Penjimatan Pas My50 yang merupakan ciri eksklusif yang ditawarkan kepada pengguna yang melanggan Pas My50 melalui program mini Travel Pass dalam aplikasi TNG eWallet.
Menerusi ciri ini, pengguna kini dapat melihat jumlah penjimatan sebenar yang dinikmati sepanjang tempoh penggunaan pas, berbanding pembayaran tambang secara berasingan bagi setiap perjalanan.
Direka dengan paparan yang ringkas dan mudah difahami, Penjejak Penjimatan Pas My50 membantu pengguna menilai manfaat penggunaan pas dengan lebih jelas, di samping merancang perjalanan harian secara lebih bijak bagi mengoptimumkan sepenuhnya nilai dan faedah Pas My50.
Presiden dan CEO Prasarana, Amir Hamdan, berkata pengenalan Penjejak Penjimatan Pas My50 membolehkan pengguna melihat dengan lebih jelas sejauh mana pas tersebut membantu menjimatkan perbelanjaan perjalanan harian
mereka.
“Ini bukan sekadar satu ciri digital, sebaliknya merupakan langkah strategik untuk memperkukuh keyakinan pengguna terhadap manfaat pengangkutan awam sebagai pilihan mobiliti harian yang lebih berbaloi dan mampan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Prasarana turut mengumumkan bahawa kemudahan pembelian Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara kini ditawarkan secara digital menerusi program mini Travel Pass dalam aplikasi TNG eWallet, sekali gus memperluas akses pengguna kepada perkhidmatan pas perjalanan yang lebih mudah dan fleksibel.
Pembelian pas digital ditawarkan pada harga yang sama tanpa caj tambahan dan boleh diaktifkan terus ke kad Touch ‘n Go berfungsi NFC melalui aplikasi TNG eWallet bagi kemudahan pengguna.
Untuk maklumat lanjut mengenai Penjejak Penjimatan My50 atau pendigitalan pas Rapid Kota dan Rapid Kembara, layari laman sesawang www.myrapid.com.my atau https://www.touchngo.com.my.
The post Prasarana lancar Penjejak Penjimatan Pas My50 – rancang perjalanan harian, lihat jumlah penjimatan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















