Pos Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Autonomous Logistic Solutions (ALS) bagi melaksanakan penggunaan kenderaan logistik autonomous pertama seumpamanya di Malaysia. Menerusi perjanjian ini, kedua-dua pihak akan menjalankan percubaan konsep selama enam bulan, di mana sebuah kenderaan autonomous Zelos yang dibekalkan oleh ALS akan digunakan dalam persekitaran operasi sebenar Pos Malaysia.
Zelos ketika ini mengendalikan lebih 15,000 kenderaan autonomous di beberapa negara termasuk China, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu. ALS pula merupakan rakan eksklusif Zelos di Malaysia yang bertanggungjawab membawa masuk, menyesuaikan serta mengoperasikan teknologi kenderaan autonomous tersebut untuk pasaran tempatan.
Percubaan ini menjadi langkah awal yang penting ke arah penggunaan kenderaan autonomous di jalan raya awam. Ia disokong melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Futuris bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan, keselamatan serta kerangka nasional kenderaan autonomous.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, inisiatif kenderaan autonomous ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha mentransformasi Pos Malaysia menjadi penyedia logistik yang moden, inovatif dan mampan. Menurut beliau, Zelos bukan sekadar mewakili kemajuan teknologi, sebaliknya satu langkah nyata ke arah operasi yang lebih cekap dan lestari.
Faisal menambah, teknologi tersebut berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api, mengoptimumkan laluan penghantaran dan meminimumkan pembaziran dalam operasi harian. Pos Malaysia juga berbangga berada di barisan hadapan evolusi digital negara serta memimpin industri ke arah era automasi baru.
Kenderaan autonomous Zelos merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya dan dilengkapi dengan set penderia menyeluruh yang membolehkannya mencapai autonomous Tahap 4, iaitu beroperasi tanpa pemandu. Menurut Pos Malaysia, kenderaan logistik autonomous tanpa pelepasan karbon ini dibangunkan khas untuk pengangkutan barangan perniagaan ke perniagaan (B2B), terutamanya bagi operasi penghantaran berulang, berjumlah besar dan dari satu lokasi ke satu lokasi.
Digital Nasional Berhad (DNB) turut terlibat sebagai rakan strategik ALS dalam menyediakan sambungan 5G, yang merupakan komponen penting bagi membolehkan penggunaan teknologi autonomous lanjutan. Langkah Pos Malaysia ke arah logistik autonomous ini juga selari dengan inisiatif mobiliti mampannya, yang menyaksikan syarikat itu kini mengendalikan kumpulan kenderaan elektrik terbesar di negara ini. Pos Malaysia memaklumkan ia memiliki lebih 1,500 motosikal dan van elektrik, dengan 25 peratus daripada keseluruhan kenderaannya kini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, berkata pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah kenderaan autonomous, sebaliknya membuka lembaran baru untuk industri logistik Malaysia. Beliau menyifatkan projek perintis ini sebagai bukti komitmen Pos Malaysia terhadap inovasi, kecekapan dan masa depan negara, sambil menyatakan rasa bangga dapat menerajui perjalanan transformasi tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan ALS, Alan Chong, berkata kerjasama dengan Pos Malaysia membolehkan logistik autonomous bergerak melangkaui fasa ujian kepada operasi sebenar. Menurutnya, integrasi teknologi autonomous Tahap 4 ke dalam aliran kerja sedia ada penghantaran pos dan bungkusan membuktikan kesediaannya untuk digunakan di dunia sebenar. Kerjasama ini juga menetapkan penanda aras nasional bagi penggunaan industri yang lebih meluas serta membuka laluan jelas untuk kenderaan autonomous beroperasi di jalan raya Malaysia dalam masa terdekat.
The post Pos Malaysia bekerjasama dengan ALS untuk lancar kenderaan logistik autonomous pertama dalam negara appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























