Porsche Center Johor Bahru yang merupakan satu-satunya fasiliti rasmi Porsche di Malaysia menerima status sebagai Porsche Classic Partner lengkap dengan fasiliti kerja pembaikan badan dan cat bertauliah telah pun melengkapkan projek restorasi lengkap pertamanya yang merupakan sebuah antara model terawal kereta sport Porsche 911, iaitu Porsche 911 T.
Menurut Porsche Malaysia, projek restorasi ini mengambil masa berbulan-bulan dan ia disiapkan sepenuhnya secara in-house oleh juruteknik-juruteknik Porsche Center Johor Bahru yang menerima pentauliahan di bawah program Porsche Classic Partner.
Kerja-kerja yang dilakukan bukan sekadar memperbaiki kerosakan kerana setiap komponen kereta ini telah ditanggalkan sepenuhnya, kemudian dibina semula sehingga ke tahap spesfikasi asal kilang, lengkap dengan semua dokumentasi.
Porsche 911 T (T untuk Touring) diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1967. Berbanding model seperti 911 S dan 911 E, 911 T ini merupakan pilihan yang lebih mampu milik ketika itu dengan penawaran enjin yang menghasilkan kuasa lebih kecil.
Namun model ini masih dianggap model yang memberikan pengalaman pemanduan untuk purist kerana masih mengekalkan rekaan asas 911, serta ringan, tangkas dan juga seimbang.
The post Porsche Center Johor Bahru lengkapkan projek restorasi klasik pertama – sebuah Porsche 911 T appeared first on Paul Tan’s Automotive News.