Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket curi dan klon kenderaan dalam satu operasi yang menyaksikan 12 individu ditahan, laporan Free Malaysia Today. Suspek berusia antara 33 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman antara 12 hingga 15 Mac, dan telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut.

Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar, operasi tersebut dijalankan selepas kira-kira lima bulan risikan terhadap sindiket yang mahir dalam mengklon kenderaan dan menjual semula kereta terbabit. “Salah seorang suspek juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Singapura berkaitan kes kecurian kenderaan dan telah diserahkan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain tangkapan, polis turut menyita 12 kenderaan pelbagai model termasuk Toyota, Honda dan Mazda dengan keseluruhannya bernilai anggaran RM1.1 juta. Daripada jumlah tersebut, lapan kenderaan didapati telah diubah identitinya, manakala empat lagi disahkan dicuri dari Singapura.

Polis tumpaskan sindiket curi dan klon kenderaan – 12 individu ditahan, 12 kenderaan bernilai RM1.1j disita

Pemeriksaan polis mendapati bahawa nombor casis dan enjin kenderaan yang diklon telah diubah, malah ada yang diubah sehingga identiti asalnya tidak dapat dikenal pasti. M Kumar menjelaskan bahawa sindiket tersebut menggunakan kenderaan curi atau kenderaan yang telah diisytiharkan sebagai “total loss”.

“Kenderaan ini kelihatan sah walaupun selepas pemeriksaan dan kadangkala dijual melalui pengedar yang kelihatan seolah-olah sah,” katanya, sambil menambah bahawa semakan lanjut mendapati sebahagian kenderaan klon itu turut mempunyai dokumen sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kecurian kenderaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Polis kini sedang berusaha mengesan ahli sindiket lain dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli kenderaan, terutamanya jika ditawarkan pada harga yang terlalu rendah. Pemilik kenderaan yang telah diisytiharkan sebagai “total loss” juga digesa untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti kenderaan mereka.

The post Polis tumpaskan sindiket curi dan klon kenderaan – 12 individu ditahan, 12 kenderaan bernilai RM1.1j disita appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts