Sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan lalu lintas, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang mempertimbangkan cadangan supaya penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya, laporan Astro Awani.

Timbalan Pengarah 1 (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin berkata, buat masa ini penggunaan dashcam masih bersifat aksesori dan tidak diwajibkan. Walau bagaimana pun, katanya, sudah sampai masanya perkara itu dinilai semula oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT).

Tambahnya, cadangan tersebut bertujuan menjadikan orang awam sebagai “mata dan telinga” kepada pihak berkuasa dalam merekod serta melaporkan kesalahan jalan raya yang berlaku.

“Sampai masanya negara kita mungkin boleh menetapkan satu syarat atau kewajipan. Buat masa ini ia belum compulsory, lebih kepada aksesori, tetapi mungkin sudah tiba masanya kita mewajibkan supaya semua pengguna jalan raya ini menjadi mata kepada pihak berkuasa, di mana kesalahan yang berlaku boleh dirakam dan dilaporkan,” katanya.

Polis pertimbang wajibkan dashcam untuk pengguna jalan raya – pemberi maklumat dapat diskaun saman

Mohd Rozi berkata, JSPT juga sedang merancang mekanisme untuk memberi merit atau insentif kepada individu yang melaporkan kesalahan lalu lintas melalui rakaman dashcam.

Sebagai contoh, beliau tidak menolak kemungkinan pemberian diskaun saman pada masa hadapan kepada mereka yang aktif menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan jalan raya kepada pihak berkuasa.

“Ini masih dalam perancangan JSPT dalam konteks dashcam. Mungkin bila tiba masa diskaun saman, mereka yang tidak melaporkan tiada diskaun, tetapi mereka yang membuat laporan ada kelebihan,” jelasnya sambil menambah JSPT turut menerima maklum balas positif daripada masyarakat yang menyokong perluasan penggunaan dashcam sebagai alat membantu penguatkuasaan.

Menurutnya, cadangan itu termasuk membenarkan mana-mana pengguna jalan raya yang memasang dashcam merakam kejadian atau kesalahan lalu lintas dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

“Mmaksudnya sesiapa sahaja yang memasang dashcam boleh merakam kejadian atau kesalahan dan menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa dan akan ada manfaat kepada mereka nanti,” katanya yang turut berkata JSPT turut meneliti kemungkinan mewujudkan konsep ‘rakan kepada pihak berkuasa’ bagi pengguna yang bekerjasama dalam aspek keselamatan jalan raya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang penggunaan dashcam untuk tujuan pelaporan perlu mematuhi undang-undang serta garis panduan yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Ini cadangan yang baik yang diterima daripada masyarakat kepada JSPT, dan kita akan menyusun peraturan serta kepatuhan yang sesuai supaya ia dilaksanakan secara teratur dan sah,” katanya.

The post Polis pertimbang wajibkan dashcam untuk pengguna jalan raya – pemberi maklumat dapat diskaun saman appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts