Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengumumkan Op Selamat 26 akan dilaksanakan bermula 19 hingga 24 Mac 2026 di seluruh negara sempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini. Kali ini, ia mengangkat tema “Kongsi perjalanan, kongsi keselesaan dan keselamatan diutamakan.”

Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, Op Selamat yang dianjurkan sejak tahun 2012 hingga kini adalah bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya nahas maut dan memastikan kelancaran aliran trafik. “Konsep utama Op Selamat 26 adalah Pre-Emptive Services and Total Enforcement di mana JSPT membuat persiapan awal bagi menyelaras penugasan bersama agensi-agensi pengkuatkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan semua pihak terlibat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah Muhammed Hasbullah, sempena dengan Aidilfitri ini, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan serta kesesakan dengan tindakan penyuraian di laluan-laluan utama di seluruh negara, JSPT menugaskan seramai 5,544 orang anggota dan pegawainya di seluruh negara untuk pelaksanaan operasi ini.

Polis laksana Op Selamat 26 pada 19 hingga 24 Mac 2026 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri

“Sepanjang pelaksanaan Op Selamat ini, 25 pasukan Emergency Response Team (ERT) akan sentiasa bersiap siaga untuk memberi bantuan awal kepada pengguna jalan raya yang menghadapi sebarang masalah di sepanjang lebuhraya. Sebanyak 11 lokasi di lebuhraya utara, selatan dan pantai timur telah dikenalpasti untuk penempatan pasukan ERT bagi memastikan bantuan disalurkan dengan pantas dan berkesan,” sambungnya lagi.

Jelasnya, penguatkuasaan dan tindakan serta merta di bawah peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah Lalu Lintas LN 166/59 kepada pengguna jalan raya yang melanggar enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan alat komunikasi semasa memandu, memandu di lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memotong barisan.

“Pihak JSPT menyarankan orang ramai untuk mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut had kelajuan yang ditetapkan dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Pada masa yang sama, pengguna lebuhraya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi saluran media JSPT dan stesen penyiaran utama negara bagi mengetahui maklumat aliran lalu lintas sebelum memulakan perjalanan bersama keluarga,” kata Muhammed Hasbullah.

The post Polis laksana Op Selamat 26 pada 19 hingga 24 Mac 2026 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts