Polis laksana Op Selamat 25 pada 15 hingga 20 Feb 2026 di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengumumkan Op Selamat Siri 25 akan dilaksanakan bermula 15 hingga 20 Februari 2026 di seluruh negara. Dengan tema “Kongsi perjalanan, kongsi keselesaan dan keselamatan diutamakan”, Op Selamat 25 ini adalah sempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pertengahan minggu hadapan.

Op Selamat telah dilaksanakan sejak tahun 2012 hingga sekarang adalah bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya nahas maut dan memastikan kelancaran aliran trafik. Konsep utama Op Selamat 25 adalah Pre-Emptive Services and total Enforcement di mana JSPT membuat persiapan awal bagi menyelaras penugasan semua kontigen seluruh Malaysia yang melibatkan 3,609 anggota dan berkolaborasi dengan agensi-agensi penguatkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan semua pihak terlibat.

“Penguatkuasaan dan tindakan serta merta di bawah peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas LN 166/59 kepada pengguna jalan raya yang melanggar enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan (‘Q’), tidak mematuhi lampu isyarat, dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” kata Pengarah JSPT, CP Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali.

Polis laksana Op Selamat 25 pada 15 hingga 20 Feb 2026 di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina

Dengan menjangkakan sebanyak 3.27 juta kenderaan yang akan menggunakan lebuhraya sepanjang tempoh perayaan ini, 25 Emergency Response Team (ERT) juga akan sentiasa bersiap siaga di 11 lokasi di sepanjang lebuhraya utara, selatan dan pantai timur untuk memberi bantuan awal kepada pengguna jalan raya yang mengalami masalah di sepanjang lebuhraya.

Sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan diri sendiri, penumpang dan orang di sekeliling semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua dan bila-bila masa. Jalan raya bukanlah tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Maka, amalkan pemanduan selamat dan tingkatkan fokus pemanduan serta pastikan kenderaan anda berada dalam kondisi yang baik sebelum memulakan perjalanan.

The post Polis laksana Op Selamat 25 pada 15 hingga 20 Feb 2026 di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts