PLUS Malaysia Berhad (PLUS), menerusi kerjasama strategik bersama Yinson GreenTech, telah melancarkan majlis pecah tanah bagi pembangunan Hab Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) Bersepadu Pertama di Malaysia (Hab EV), bertempat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan.
Majlis pecah tanah ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya iaitu Dato’ Mohd Sakeri Abdul Kadir, Dato’ Ir. Hj. Sazali Harun selaku Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Hj. Sazali Harun, Pengerusi PLUS Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif, Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Berhad, Lim Han Weng dan Ketua Pegawai Eksekutif Yinson GreenTech, Lim Chern Yuan.
Menurut PLUS, projek ini merupakan hasil usaha sama strategik antara sektor awam dan swasta di bawah penyelarasan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pemantauan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), yang berperanan memastikan pembangunan infrastruktur lebuh raya negara kekal efisien, moden dan mampan.
Pembangunan ini bakal merevolusikan konsep kawasan rehat lebuh raya dengan mengintegrasikan teknologi pengecasan pantas EV bersama ekosistem perkhidmatan sampingan yang moden dan dinamik. Inisiatif ini sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju infrastruktur lebuh raya lestari di rantau Asia Tenggara.
Hab EV bersepadu pertama di R&R Seremban ini akan dilengkapi dengan 20 poin kemudahan pengecasan pantas DC yang membolehkan pemandu EV mengecas kenderaan mereka dalam masa yang singkat antara 20 hingga 30 minit. Turut disediakan ialah ruang perkhidmatan F&B, termasuk kemudahan pandu lalu, kawasan parkir yang luas untuk kenderaan bukan EV serta kemudahan asas seperti tandas awam dan surau bagi keselesaan serta kemudahan pengguna lebuh raya.
Reka bentuk Hab EV ini juga telah disediakan dengan infrastruktur solar, membuktikan komitmen Kerajaan terhadap amalan tenaga boleh diperbaharui. Infrastruktur seperti Hab EV ini bukan sahaja menyokong kemudahan perjalanan rakyat, malah akan menjana pertumbuhan sosio-ekonomi negara dari aspek menarik pelaburan domestik serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Kini terdapat 140 poin pengecasan pantas di seluruh lebuh raya.
“Infrastruktur seperti ini bukan sahaja menyokong kemudahan perjalanan rakyat, malah akan menjana pertumbuhan sosio-ekonomi negara dari aspek menarik pelaburan domestik serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Kejayaan projek ini adalah hasil kerjasama yang erat antara sektor awam dan swasta, di mana dasar progresif disediakan oleh Kerajaan, pelaksanaan dijayakan oleh syarikat konsesi lebuh raya serta pemain industri, dan manfaat akhirnya sampai terus kepada rakyat,” kata Alexander dalam majlis berkenaan.
Mohamad Nasir pula berkata, “PLUS komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35% menjelang tahun 2030, ke arah Sifar Bersih menjelang 2050. Pembangunan Hab Pengecasan kenderaan elektrik (EV) ini adalah bukti nyata komitmen tersebut. Sejak tahun 2023, PLUS telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan dan melaksanakan infrastruktur pengecasan pantas bagi kenderaan elektrik di sepanjang rangkaian lebuh raya kami.
“Setakat ini, sebanyak 114 poin pengecasan pantas telah berjaya dibina bersama operator utama negara, melebihi sasaran asal sebanyak 100 poin dan disiapkan setahun lebih awal daripada jadual. Usaha ini akan menyumbang kepada pencapaian 350 poin pengecasan terkumpul menjelang tahun 2028.”
Tambahnya, lokasi Hab EV ini dipilih di R&R Seremban (arah selatan) bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan semula R&R tersebut, yang telah melakar sejarah sebagai R&R Lestari Pertama di Malaysia. Hab EV ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2027, menandakan permulaan inisiatif yang lebih meluas bagi menyediakan rangkaian lebuh raya Malaysia untuk memenuhi keperluan mobiliti masa hadapan.
The post PLUS, Yinson Greentech lancar Hab EV pertama di Malaysia – R&R Seremban Selatan, siap awal 2027 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.