PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyumbang sejumlah empat buah Honda CR-V 1.5 Turbo kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dijadikan kenderaan penguatkuasaan bagi meningkatkan keselamatan pengguna lebuhraya kendaliannya.
Dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, di Putrajaya hari ini, kenderaan terbabit telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Kewangan PLUS, Sharuddin Omar Hashim kepada Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli, disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook.
Menurut PLUS, penyerahan kenderaan penguatkuasa kepada JPJ adalah untuk membantu memperkasakan lagi peranan agensi terbabit dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang, rondaan dan pemantauan dengan lebih efektif di lebuhraya kendalian PLUS.
“Inisiatif ini merupakan salah satu kerjasama strategik antara pihak PLUS dan JPJ dalam memastikan orang ramai menikmati perjalanan yang selamat ketika berada di lebuhraya, selain memantapkan kecekapan penguatkuasaan di sepanjang Lebuhraya PLUS,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Honda CR-V generasi keempat ini dilancarkan di pasaran Malaysia pada akhir Disember 2023, diberikan unit L15BE DOHC turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700-5,000 rpm. Bagi enjin turbo, ia ditawarkan dengan empat varian iaitu Honda CR-V 1.5L Turbo S – RM159,900; Honda CR-V 1.5L Turbo E – RM169,900; dan Honda CR-V 1.5L Turbo V AWD – RM181,900. Manakala CR-V 2.0L e:HEV RS pula dijual pada harga RM195,900.
Pada tahun 2019, PLUS juga pernah menyumbang sebanyak 10 unit Honda C-RV 2.0L 2WD kepada JPJ sebagai kenderaan penguatkuasaan di lebuhraya.
The post PLUS sumbang empat kenderaan penguatkuasaan baharu kepada JPJ – Honda CR-V 1.5T jadi pilihan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.