Pameran automotif paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2025, yang ditaja bersama oleh Carro dan Kärcher, berlangsung meriah di Setia City Convention Centre (SCCC) hari ini. Bagi yang terlepas peluang berkunjung, acara ini masih berlangsung sehingga 7 malam, dengan pelbagai tawaran menarik menanti para pengunjung.
Dua jenama di bawah naungan Stellantis, iaitu Peugeot dan Leapmotor, turut mengambil bahagian dalam pameran kali ini. Leapmotor menampilkan dua unit C10, SUV segmen-D yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu dan menerima kemas kini pada pertengahan 2024. Model versi 2025 ini hadir dengan beberapa penambahbaikan kecil dari segi kelengkapan dan teknologi.
Dari segi prestasi, motor elektrik pacuan roda belakang masih mengekalkan kuasa 218 PS dan 320 Nm, namun model baru ini kini dilengkapi pengecas dalaman AC 11 kW, menggantikan unit 6.6 kW sebelum ini. Peningkatan ini membolehkan masa pengecasan dari 30% ke 80% SoC dipendekkan daripada enam jam kepada hanya empat jam bagi bateri 69.9 kWh.
Selain itu, versi 2025 turut ditambah dengan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) masa nyata, kit pam tayar elektrik, serta penutup ruang kargo belakang yang lebih praktikal.
Perkara paling menarik ialah penurunan harga model Leapmotor C10. SUV elektrik ini kini dijual pada RM125,000, jauh lebih rendah daripada harga pelancaran RM149,000. Ini menjadikan C10 antara SUV elektrik paling berbaloi dalam kelasnya.
Walaubagaimanapun, model yang dijual ketika ini masih diimport penuh (CBU) dan ia dijangka akan mula dipasang dalam negara (CKD) di kilang Stellantis Gurun menjelang hujung tahun. Ini juga merupakan peluang terakhir untuk mendapatkan unit CBU pada harga istimewa sebelum pengecualian cukai EV CBU berakhir pada 31 Disember.
Sementara itu di kawasan pameran Peugeot, pengunjung boleh melihat sendiri model Peugeot 408, yang kini ditawarkan pada harga serendah RM120,000 bagi varian Allure. Varian GT yang dipamerkan di dewan acara turut menerima rebat menarik. Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 218 PS dan 300 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Peugeot turut menawarkan waranti sehingga tujuh tahun atau 200,000 km, menjadikan tawaran ini antara yang paling kompetitif dalam segmennya.
Seperti jenama lain di ACE 2025, setiap tempahan kenderaan yang disahkan akan melayakkan pembeli menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa percutian untuk dua orang bernilai RM10,000, selain peluang memenangi produk Kärcher bernilai lebih RM30,000 untuk 20 pemenang bertuah.
Bagi peminat automotif dan mereka yang ingin mendapatkan tawaran hebat dari Peugeot serta Leapmotor, kunjungan ke ACE 2025 di Setia City Convention Centre hari ini adalah peluang terakhir. Masuk adalah percuma, jadi jangan lepaskan peluang menikmati promosi automotif terbaik hujung tahun ini.
The post Peugeot 408 pada harga bermula RM120k di ACE 2025 – Leapmotor C10 turun harga sehingga RM24k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















