Anda pernah dengar mitos nak hidupkan enjin kereta, kena tekan butang penghidup enjin dua atau tiga kali untuk elakkan berlaku kerosakan pada enjin? Kalau anda guna kenderaan jenis Perodua, syarikat berkenaan dah sahkan perkara tersebut hanyalah mitos, dan anda hanya perlu tekan butang berkenaan sekali, sambil memijak pedal brek untuk menghidupkan enjin kereta anda.
Perodua mengesahkan perkara ini menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya. Ini bukan kali pertama syarikat itu menyatakan perkara ini, malah tahun lalu ia telah menyiarkan satu video ‘Tip Abang Perodua’ untuk memberitahu pengguna bahawa menghidupkan enjin dengan menekan butang push start tersebut sebanyak tiga kali hanyalah mitos.
Video berkenaan dihasilkan bersama pempengaruh Fuad Nasir dan juga watak ‘Abang Perodua’ yang merungkai beberapa mitos pemilikan kenderaan, antaranya tentang tekanan angin tayar dan juga penggunaan penghawa dingin didakwa boleh meningkatkan penggunaan bahan api.
Tip Abang Perodua pada minit 1:07 video tersebut menyebut fakta yang betul adalah anda hanya perlu menekan butang penghidup enjin sekali serentak dengan memijak pedal brek bagi menghidupkan enjin, sekaligus menafikan mitos bahawa ‘enjin akan tahan lama serta sihat dan walfiat’ sekiranya butang tersebut ditekan tiga kali seperti yang disebut oleh Fuad sebelum itu.
Mitos ini sebenarnya adalah ‘evolusi’ dari ‘petua’ sebelum adanya sistem keyless entry yang menggunakan butang penghidup enjin ini lagi, di mana pada era 90’an dahulu ada yang menganjurkan agar kita hanya menghidupkan enjin selepas lampu ‘check engine’ pada paparan instrumen padam.
Teori ini menyatakan bahawa ia perlu dilakukan bagi mengelakkan kotak komputer ‘terkejut’ ketika semua sistem diperiksa sendiri oleh komputer ketika mula menerima bekalan elektrik. Mungkin ada kebenaran berkenaan teori ini, dan mungkin tidak kerana masih lagi belum ada bukti kukuh atau penemuan kotak komputer enjin yang rosak kerana pemiliknya tidak menunggu sehingga lampu tersebut padam sebelum enjin dihidupkan.
Namun ini adalah cerita pada era lewat 80’an dan awal 90’an iaitu zaman di mana sistem karburator secara beransur-ansur mula digantikan dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Beza komputer pada zaman berkenaan adalah jauh lebih ‘primitif’ berbanding komponen yang kita sekarang.
Jadi tidak timbul masalah ‘terkejut’ ini memandangkan kotak komputer enjin untuk model-model terkini adalah sangat laju dan melakukan kesemua proses kadang kala tidak sampai 1 saat. Malah pada enjin-enjin terkini, ia telah direka dengan pelbagai mod selamat yang akan menghalang enjin berkenaan hidup sekiranya ia mengesan ada kerosakan besar akan berlaku jika ada sistem yang gagal berfungsi.
Kami sebenarnya pernah menulis berkenaan perkara ini kira-kira tujuh tahun lalu, namun sehingga kini masih lagi ada lagi yang percaya tentang mitos berkenaan. Dan malangnya masih ada penasihat jualan (termasuk dari Perodua sendiri) yang ‘mengajar’ pelanggan bila nak hidupkan enjin, kena tekan push start button tiga kali.
The post Perodua sekali lagi nyatakan tekan butang push start hanya sekali, bukan dua-tiga kali untuk hidupkan enjin appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















