Dalam satu wawancara bersama Hezeri Samsuri dari Careta, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad ada menyatakan bahawa syarikatnya memang sengaja untuk ‘memperlahankan’ dahulu jualan bagi EV pertama mereka iaitu Q-VE, dek kerana isu membabitkan vendor dari China yang menghasilkan komponen yang tidak memenuhi standard kualiti yang ditetapkan. Malah dengan harga yang agak tinggi ditawarkan iaitu RM80,000 tidak termasuk bateri turut menjadi sebab mengapa jualan bagi model ini agak perlahan di mana sehingga kini ia hanya dapat mengumpul sebanyak 205 unit tempahan.
Namun Perodua ada perancangan untuk merancakkan jualan model EV berkenaan iaitu dengan melakukan lokalisasi penuh, atau mendapatkan bekalan komponen keseluruhannya dari vendor di Malaysia, di mana ketika itu Zainal menjangkakan QV-E dapat dijual pada harga serendah RM60,000, termasuk bateri!
Menurut Zainal buat masa sekarang vendor-vendor Perodua di Malaysia sedang bekerja keras untuk membekalkan komponen Q-VE, dan lokalisasi penuh untuk model ini dijangka dapat dibuat pada bulan Jun tahun ini.
Buat masa sekarang QV-E sememangnya dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia, namun ada “banyak komponen kritikal” yang masih dibekalkan oleh vendor dari China. Berapa banyak komponen dan yang mana komponen dibekalkan dari China tidak pernah didedahkan oleh Perodua.
Namun yang pasti QV-E digerakkan oleh bateri LFP 52.5 kWj yang dibekalkan oleh syarikat pengeluar bateri terbesar di dunia yang berasal dari China iaitu CATL. Syarikat ini turut membekalkan bateri-bateri EV kepada kebanyakkan jenama global, termasuk Geely Xingyuan dan kembarnya Proton eMas 5.
Zainal memberitahu bahawa ketika dalam proses produksi Q-VE, mereka mendapati ada beberapa pembekal-pembekal baharu termasuk dari China yang tidak memenuhi standard kualiti yang Perodua mahukan, dan buat masa sekarang ada 30 orang kakitangan Perodua yang sedang memantau vendor-vendor di China ini agar mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
Kerana belum yakin dengan kualiti produk baharu ini, sebab itulah Perodua meletakkan harga yang tinggi untuk Q-VE dan mensasarkan untuk menjual hanya 500 unit sahaja sebulan. Setelah model ini dihasilkan dengan komponen yang secara keseluruhannya dalam Malaysia dengan kualiti yang diyakini, serta mendapat bekalan komponen yang lebih murah dari syarikat-syarikat tempatan kelak, ketika itu Perodua akan menurunkan harga Q-VE dan mensasarkan jumlah jualan yang jauh lebih tinggi, jelas Zainal.
The post Perodua QV-E – lokalisasi penuh akan dibuat Jun ini, harga jualan mungkin boleh turun sehingga RM60k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















