Selepas memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya beberapa hari lalu, Perodua kini menyiarkan teaser satu lagi model baru menerusi sebuah video pendek di media sosialnya. Tiada butiran rasmi didedahkan, namun banyak petunjuk yang menghala kepada model crossover segmen B yang sudah lama ditunggu, dikenali dengan nama kod D66B.
Model D66B dijangka berkongsi banyak persamaan dengan Toyota Yaris Cross, yang meraih penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP pada Ogos lalu. Laporan penilaian untuk Yaris Cross menyebut “Production Malaysia for Malaysia market”, mengesahkan bahawa SUV kompak itu akan diperkenalkan di sini sebagai model Toyota dan juga Perodua. Berdasarkan pemfailan tanda dagangan lebih tiga tahun lalu, versi Perodua dikatakan mungkin menggunakan nama Nexis atau Traz.
Seperti mana perbezaan antara Alza dan Toyota Veloz, Perodua turut memberikan sentuhan tersendiri kepada D66B. Dalam teaser yang dikongsi, Perodua hanya menunjukkan bahagian gril hadapan secara jelas. Menariknya, gril Perodua menampilkan motif perincian berbentuk L, berbeza dengan motif U pada Yaris Cross.
Video tersebut juga memaparkan satu pandangan luas D66B yang digelapkan, namun jika diteliti, kelihatan beberapa elemen reka bentuk yang mirip Yaris Cross seperti lampu hadapan yang nipis serta kemasan krom yang melengkung ke belakang berhampiran tiang C. Lakaran digital oleh pereka Theophilus Chin memberikan gambaran hampir kepada apa yang boleh dijangka daripada model produksi sebenar.
Setakat ini, Perodua belum mengesahkan pilihan enjin untuk Nexis/Traz. Di Indonesia, Yaris Cross ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter NA 2NR-VE empat silinder yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm, dipadankan sama ada dengan transmisi manual lima kelajuan atau CVT pacuan roda depan.
Sementara itu di Thailand pula, model ini hanya dijual dalam versi hibrid, menggabungkan enjin 1.5 liter NA 2NR-VEX (91 PS, 121 Nm) dengan motor elektrik 80 PS/141 Nm untuk kuasa keseluruhan 111 PS.
Mengikut laporan Kenanga Research pada Februari lalu, pelancaran D66B asalnya dijadualkan berlangsung pada April 2024, namun tumpuan Perodua terhadap pelancaran Q-VE dipercayai menyebabkan jadual D66B sedikit tertunda. Walaubagaimanapun, teaser terbaru ini mengesahkan bahawa detik pelancarannya semakin hampir.
Apa jua nama yang dipilih nanti, D66B akan diletakkan di atas Ativa dalam barisan model Perodua. Harga Ativa kini bermula daripada RM62,500 (atas jalan tanpa insurans) dan mencecah sehingga RM73,100, atau RM73,400 untuk varian AV dua tona. Jadi, anda rasa berapa agaknya harga D66B apabila tiba nanti?
The post Perodua Nexis/Traz dalam teaser – pelancaran SUV D66B berasaskan Toyota Yaris Cross semakin hampir appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















