Berkaitan perkembangan terbaru Perodua berkaitan pengeluaran EV yang bakal dilancarkan tahun ini, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan ketika sidang media pelancaran “super app” P-Circle pagi ini, produksi rintis bagi model elektrik keluarannya sudah dimulakan di Rawang, dan pelancaran rasminya akan dilakukan sebelum hujung tahun ini.
Beliau juga menjelaskan, harga sasaran bagi model EV tersebut masih kekal sama: maksimum RM80k. Proton baru-baru ini membuka tempahan untuk model eMas 5, model rebadge dari Geely Xingyuan, dengan julat harga dari RM60k hingga RM80k.
Adakah dua model itu hampir sama untuk dibandingkan dengan setara? Tidak juga. Untuk model keluarannya, Perodua mensasarkan jarak perjalanan antara 400 km hingga 410 km, 0-100 antara enam dan tujuh saat dengan laju maksimum sekitar 165 km/j. Proton eMas 5 pula memberikan jarak 325 km dan pecutan 0-50 km/j (bukan 0-100 km/j) dalam 3.9 saat.
Maka, model Perodua ada lebih banyak kelebihan untuk ditawarkan sebagai EV. Perbezaannya, pemilik model EV Perodua itu nanti tidak akan memiliki bateri CATL-nya — mereka perlu memajak/menyewa bateri tersebut.
Perodua juga mensasarkan jualan sebanyak 2,500 unit EV berkenaan sebulan. Ini angka yang agak besar jika dibandingkan dengan pendahulu pasaran EV ketika ini; Proton eMas 7 secara purata dijual bawah 700 unit sebulan.
“Berdasarkan produk yang kami ada, dan berdasarkan kaji selidik, kami perlu mengubah arah tuju — kini kami akan melakukan produk massa untuk model terbabit. Dan kami memerlukan sedikit masa untuk itu. Sebagai permulaan, kami sasar jualan 500 unit sebulan dan kemudian meningkatkannya kepada 2,000 unit sebulan,” jelas beliau pada Mei lalu ketika mempertontonkan prototaip terakhir.
Beliau juga menambah, EV Perodua tidak akan dijual di bawah sub-jenama baru seperti dilakukan Proton, sebaliknya ia akan dijual bersama dengan model ICE di bilik pameran sama. Petugas lepas jualan kini sedang diberikan latihan untuk menyediakan sokongan berkaitan EV nanti.
The post Perodua mula produksi rintis EV — max. RM80k, sasar 2.5k unit sebulan, 50% kandungan lokal pada 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.