Perodua hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 359,904 unit kenderaan sepanjang 2025, membolehkan ia mencatatkan satu lagi rekod jualan tertinggi. Angka berkenaan adalah 0.5% lebih tinggi berbanding rekod 358,102 unit yang dijual pada 2024.
Jualan ini dipacu oleh jumlah pengeluaran yang turut meningkat di mana kilang Perodua di Rawang berjaya menghasilkan sebanyak 370,370 unit kenderaan sepanjang tahun lalu, naik 0.6% berbanding jumlah 368,100 unit kenderaan yang dihasilkan pada 2024.
Syarikat itu menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2025 akan mencecah 820,000, lebih tinggi dari jumlah 816,747 unit yang dicatatkan tahun sebelumnya. Oleh itu Perodua menganggarkan bahawa ia kini memegang sebanyak
43.9% pegangan dalam pasaran automotif Malaysia bagi 2025. Jika angka ini tepat bermakna pegangan pasaran bagi Perodua adalah sedikit turun berbanding 44% yang dicatatkan pada 2024.
Dari jumlah berkenaan, sedan segmen-A Perodua Bezza masih menjadi model paling laris syarikat itu dan model paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 100,488 unit dijual sepanjang 2025, dan ini merupakan tahun kedua Bezza mencatatkan jualan tahunan melebihi 100,000 unit.
Model kedua paling laris untuk Perodua merupakan hatchback segmen-A Perodua Axia dengan mencatatkan jualan tahunan 2025 sebanyak 84,291 unit, diikuti oleh Perodua Myvi yang dijual sebanyak 72,724 unit sepanjang 2025. Kedudukan Axia dan Myvi ini bukan hanya untuk Perodua sahaja, malah kedua-dua model ini sememangnya berada pada kedudukan kedua dan ketiga paling laris di Malaysia.
“Ketiga-tiga model ini – Bezza, Axia dan Myvi – kekal sebagai tiga model tertinggi daripada aspek jualan di dalam negara ini dan kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana terus menyokong usaha kami untuk menawarkan nilai yang lebih baik terhadap produk-produk kami,” kata CEO dan Presiden Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Menurut beliau lagi, dua model yang baru dilancarkan oleh Perodua pada akhir tahun lalu iaitu EV QV-E dan Traz belum lagi memberikan impak terhadap jumlah jualan Perodua untuk 2025. “Impaknya terhadap jumlah jualan hanya akan diketahui pada tahun ini,” jelasnya.
Dominasi tiga model utama Perodua ini bukan hanya pada tahun ini, malah ia sudah bermula beberapa tahun kebelakangan ini di mana kedudukan antara ketiga-tiga hanya berubah sesama sendiri. Dan sejak 2020 hingga 2025, Proton Saga sentiasa berada di tempat keempat di belakang model-model Perodua ini.
Namun Saga tampil dengan versi yang dikemaskini, dilancarkan pada akhir November tahun lalu dengan menampilkan perincian dan harga yang sangat kompetitif berbanding saingannya di dalam segmen yang sama iaitu Bezza. Model berkenaan berjaya mengutip sebanyak 30,000 tempahan hanya selepas seminggu pelancarannya, dan awal bulan ini Proton mengumumkan bahawa 10,000 unit Saga MC3 berkenaan telah dihantar ke pelanggan.
Jadi agak menarik untuk kita saksikan sama ada Proton boleh memecah monopoli Perodua tahun ini menerusi Saga, atau Perodua akan terus berada di atas tanpa gangguan berbekalkan reputasinya sebagai jenama yang dipercayai oleh pelanggan.
The post Perodua jual 359,904 unit kenderaan sepanjang 2025 – satu lagi rekod jualan baru, naik 0.5% berbanding 2024 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















