Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa sepanjang tempoh operasi sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, perkhidmatan tren ETS mencatatkan jumlah keseluruhan 292,033 penumpang, iaitu peningkatan sebanyak 109% berbanding tahun 2025. Lonjakan ini mencerminkan kepercayaan berterusan pengguna terhadap ETS sebagai pilihan utama bagi perjalanan jarak jauh yang lebih pantas, selesa dan efisien, khususnya dalam menghadapi peningkatan trafik semasa musim perayaan.
Manakala perkhidmatan Intercity, iaitu Ekspres Rakyat Timuran (ERT) pula mencatatkan jumlah penumpang seramai 20,969 berbanding 14,039 penumpang pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 49%.
Selain itu, tren Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA), iaitu perkhidmatan tren khas sempena hari raya yang menggunakan koc terpilih bagi laluan Pantai Timur dan Utara, merekodkan seramai 1,671 penumpang melalui enam perkhidmatan sepanjang tempoh tersebut.
Menurut KTMB, keupayaan operasi pada tahun ini turut diperkukuh melalui penggunaan sepenuhnya set tren ETS3 baharu yang membolehkan peningkatan kapasiti tempat duduk serta meningkatkan keekapan operasi keseluruhan. Bagi menyokong permintaan tinggi sempena Aidilfitri, KTMB juga memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus khususnya bagi laluan KL Sentral – Ipoh, sekali gus membantu mengurangkan tekanan permintaan serta melancarkan aliran penumpang pada waktu puncak.

“Secara keseluruhannya, sambutan pengguna terhadap perkhidmatan KTMB amat menggalakkan dengan sebanyak 314,673 tiket berjaya dijual, bersamaan 99.99% kadar pengisian tempat duduk sepanjang tempoh Aidilfitri kali ini. Ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap perkhidmatan rel sebagai pilihan utama rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri.
Tambah beliau, “Dari aspek operasi, prestasi ketepatan masa (punctuality) ETS meningkat kepada 95%, berbanding 94% pada tahun sebelumnya. KTMB terus memberi penekanan kepada pemantauan operasi secara masa nyata, penyelenggaraan aset serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil walaupun berdepan peningkatan pergerakan penumpang.”
KTMB komited untuk terus mempertingkatkan tahap kebolehpercayaan perkhidmatan rel negara melalui penambahbaikan berterusan, pengukuhan keupayaan aset tren serta perancangan operasi yang lebih strategik, demi memberikan pengalaman perjalanan yang selamat, selesa dan lancar kepada seluruh rakyat Malaysia.
The post Perkhidmatan ETS catat peningkatan penumpang 109%, tren Intercity 49% sepanjang Aidilfitri tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















