Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesahkan operasi bagi perkhidmatan bas milik Zulco Sdn. Bhd. (Aeroline) digantung mulai 6 November hingga 5 Disember 2025. Penggantungan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan syarikat ini dilaksanakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 Akta 715] kerana syarikat gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, khusunya di bawah Perkara 16 dan Perkara 19, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Bas Ekspres, ujar APAD menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Mengikut APAD, di bawah Perkara 16 Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Perkhidmatan Kenderaan Perkhidmatan Awam, pengendali Berlesen hendaklah memastikan kenderaan yang dilesenkan diletak dan disimpan di tempat yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lokasi yang diluluskan oleh APAD semasa tidak beroperasi.

Manakala di bawah Perkara 19 pula, pengendali berlesen hendaklah memastikan pemandu tidak mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan-kawasan membahayakan penumpang dan pengguna jalan yang lain atau tempat-tempat yang dilarang di bawah mana-mana peruntukan perundangan yang sedang berkuat kuasa atau di tempat-tempat yang tidak diluluskan oleh Ketua Pengarah APAD.

“Hasil pemeriksaan APAD mendapati syarikat ini menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan. Bas syarikat juga dikesan beroperasi di luar terminal tanpa kebenaran APAD pada 3 Februari, 21 Mei dan 10 Oktober 2025.

“Syarikat terbabit telah dinasihatkan dan diberi amaran untuk menukar permit perkhidmatan ke terminal yang diluluskan, namun enggan berbuat demikian. Ekoran itu, APAD telah mengeluarkan tiga Surat Tunjuk Sebab (STS) atas kesalahan yang sama antara 13 Mac hingga 10 Oktober 2025, dan syarikat mengaku bersalah melalui maklum balas rasmi yang dikemukan kepada APAD,” jelas APAD.

Perkhidmatan bas Aeroline digantung operasi pada 6 Nov-5 Dis kerana gagal patuhi syarat lesen – APAD

Menurut APAD lagi, tindakan penggantungan yang telah dikenakan sebelum ini melibatkan bas ekspres dengan nombor pendaftaran VBR8808 dan VH8805 digantung selama 37 hari (3 April-9 Mei 2025) serta bas ekspres VH8802 digantung selama 30 hari (24 Julai – 22 Ogos 2025).

Jelasnya lagi, pada 21 Oktober lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) Bil. 15/2025 mendapati syarikat bersalah atas kesalahan berulang dan mengenakan penggantungan Lesen Pengendali selama 30 hari (6 November – 5 Disember 2025). Sehubungan itu, Zulco Sdn. Bhd. (Aeroline) tidak dibenarkan mengendalikan mana-mana perkhidmatan di bawah Lesen Pengendali berkenaan sepanjang tempoh penggantungan.

“Tindakan ini bertujuan menjamin keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, serta menyokong usaha pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan persekitaran bandar yang teratur, selamat dan efisien.

“APAD mengambil keputusan untuk menggantung sementara lesen syarikat bas ini setelah mengenal pasti beberapa isu pelanggaran syarat lesen yang berulang dan memerlukan tindakan pembetulan. Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, berkualiti dan mematuhi peraturan untuk manfaat semua pengguna,” katanya lagi.

APAD juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengendali yang gagal mematuhi peraturan atau menyalahgunakan lesen operasi kenderaan pengangkutan awam. Dalam masa yang sama, semua pengendali diingatkan supaya mematuhi syarat lesen bagi mengelakkan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen pengendali.

Pengendali Aeroline pula berkata, bagi penumpang yang telah membeli tiket bagi perjalanan untuk tempoh tersebut, boleh memohon untuk dikembalikan wang pembayaran (refund) atau pun meminda tarikh perjalanan selepas tempoh pergantungan operasi tamat.

The post Perkhidmatan bas Aeroline digantung operasi pada 6 Nov-5 Dis kerana gagal patuhi syarat lesen – APAD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts