Rangkaian jalan Genting Highlands bakal memulakan tempoh percubaan bagi sistem caj jalan yang akan dikenakan nanti bermula dari 2 April 2026. Percubaan ini akan dilakukan di dua lokasi: Genting Sempah dan bulatan Gohtong Jaya, seperti dijelaskan oleh pengendali sah rangkaian jalan Genting Highlands, Lingkaran Cekap (LCSB).
Tiada caj jalan yang akan dikenakan bagi penggunaan jalan Genting Highlands sepanjang tempoh percubaan ini. Bagaimanapun, pengguna masih perlu menyentuh kad pembayaran yang sah, termasuk kad Touch n Go dan kad debit/kredit ketika melalui penghadang tol yang telah didirikan.
Semua kenderaan wajib untuk terus mematuhi peraturan sedia ada berkaitan penggunaan jalan-jalan Genting, termasuk keperluan tambahan yang akan diperkenalkan dari semasa ke semasa, bagi memastikan aliran trafik yang lancar serta keselamatan semua, jelas LCSB.
“Percubaan ini bertujuan untuk menguji fungsi dan memastikan operasi lancar bagi sistem caj jalan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya kelak. Langkah ini juga menyokong komitmen LCSB untuk mengekalkan keselamatan dan laluan yang lancar bagi pengguna yang dibenarkan untuk ke Resorts World Genting dan tarikan lainnya, serta untuk ke kawasan sekitar di Genting Highlands,” jelas satu kenyataan LCSB.

Sebuah dokumen daripada Lingkaran Cekap turut menyebut: “sebagai pertimbangan kepada khidmat dan sumbangan yang diberikan oleh penjawat awam dan/atau kakitangan agensi dan institusi yang diiktiraf, yang secara kolektifnya dirujuk sebagai penjawat awam yang diberi kuasa atau APS, Lingkaran Cekap memberikan pengecualian daripada pembayaran caj jalan raya untuk Jalan Genting Highland kepada semua APS yang layak.”
Setiap pemohon dibenarkan untuk mendaftarkan hanya satu kenderaan Kelas 1 bagi tujuan mendapatkan pengecualian daripada caj jalan terbabit, dengan pemohon hendaklah masih bertugas ketika ini dan menyediakan perkhdimatan yang berkaitan dengan agensi dan institusi yang disenaraikan ini sepanjang tempoh berkenaan untuk mendapatkan pengecualian:
- SK Sri Layang
- SMK Sri Layang
- Institut Amiruddin Baki
- Balai Polis Genting Highlands
- Balai Polis Gohtong Jaya
- Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands
- Klinik Desa Sri Layang
- Pejabat Daerah Kecil Genting Highlands
- Pejabat Daerah dan Tanah Bentong
- Pejabat Cawangan Majlis Perbandaran Bentong (Cawangan Genting Highlands)
- Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang (Cawangan Genting Highlands), dan
- Mana-mana institusi kerajaan yang terletak di Genting Highlands yang dikenal pasti dan dinamakan oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa

Bagi membolehkan mereka menikmati pengecualian daripada caj jalan tersebut, kenderaan pemohon yang berdaftar perlu menggunakan lorong khusus untuk tujuan pengesanan plat lesen (LPR) di stesen caj jalan yang terlibat.
Pada November 2025, sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Resorts World Genting mengesahkan yang Genting Malaysia Berhad akan mengenakan caj kepada kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highlands. Pada 17 November 2025, kerajaan negeri Pahang memaklumkan pihaknya berharap caj yang akan dikenakan itu akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan penduduk setempat.
The post Percubaan caj jalan Genting bermula 2 April — tiada tol, pengguna perlu sentuh kad bayaran untuk lalu appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















