Perodua Traz yang dilancarkan sebulan lalu merupakan SUV segmen B paling murah ketika ini, dengan harga RM81,100 (bagi varian tertinggi H; X dengan harga RM76,100), walaupun varian paling asas bagi model pesaing seperti Chery Tiggo Cross dan Proton X50 tidak terlalu jauh dari harga tersebut, mengambil kira diskaun yang ditawarkan kepada pelanggan. Ditambah pula, dua model pesaing itu datang dengan enjin turbocas — dan janaan output lebih tinggi — sementara Traz hanya dengan enjin NA biasa.
Untuk yang pentingkan praktikaliti
Tetapi, ramai orang kebanyakan yang sebenarnya lebih mahukan kenderaan yang ringkas untuk kegunaan harian, yang praktikal dan tahan lasak, berbanding kereta yang “fancy“. Dan disebabkan inilah jenama seperti Toyota menjadi pengeluar kenderaan utama dunia. Perodua juga sejak lama ingin melayani khalayak pengguna yang sama, dan disebabkan itu, untuk Traz, mereka bahkan penggunakan tema “Kejuruteraan Ringkas” sebagai falsafah di belakang pembangunannya.
Traz antara lain disasarkan untuk pengguna yang ingin naik taraf daripada Myvi/Axia, atau daripada sedan lain dalam segmen B — mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga yang boleh digunakan untuk semua urusan dalam satu pakej. Kenderaan yang lasak dan boleh dipercayai, tanpa banyak “songeh” atau banyak masalah. Di sinilah enjin dari siri NR yang telah banyak digunakan untuk model Perodua, Daihatsu dan Toyota memainkan peranan penting.
Dalam artikel ini, kita akan memberi perhatian kepada kos penyelenggaraan Traz bagi jarak hingga 100,000 km, atau lima-tahun/60-bulan. Kami sertakan sekali kos Myvi sebagai rujukan dan perbandingan (yang juga menggunakan enjin sama), serta kos untuk Ativa sebagai sebuah lagi model SUV dalam barisan penawaran Perodua; Ativa lebih canggih dan berkuasa, tetapi juga lebih kecil dan kurang praktikal sebagai kereta keluarga. Dan, ada juga kos Proton X50 sebagai perbandingan.

Kos terjangkau oleh Perodua
Kos keseluruhan penyelenggaraan Traz bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km ialah RM3,534.87. Ini melibatkan tiga corak penukaran minyak enjin biasa sepanjang tempoh itu — penukaran “kecil” akan dikenakan kos RM256.24; penukaran “medium” dengan penapis kabin sekali akan dikenakan harga RM340.41.
Penukaran “besar” yang melibatkan penapis udara dan servis bendalir brek juga berharga RM340.41. Servis besar 100k km — yang termasuk penukaran pelincir CVT dan palam pencucuh — dikenakan harga RM769.38. Semua ini menjadikan kos keseluruhan sekitar RM3.5k.
Seperti dijangka, kos berkenaan tidak lari jauh dari kos Myvi bagi tempoh yang sama; pengguna perlu membayar RM3,368.70. Untuk beralih kepada kereta yang lebih besar, sebuah “SUV Toyota” pula, dengan kos penyelenggaraan yang hanya lebih RM200 bagi tempoh lima-tahun bukanlah beban yang memerlukan orang ramai untuk berfikir panjang untuk beralih — satu kos yang terjangkau oleh dompet.
Lebih menarik, kos penyelenggaraan bagi Traz adalah hampir sama dengan kos untuk Ativa. Sedikit berbeza harga untuk palam pencucuh Ativa ketika servis 100k km (RM471.90 berbanding RM263.60 untuk Traz) — kerana Ativa menggunakan sistem yang lebih canggih dengan enjin 1.0 liter turbocas. Jadi secara ringkasnya, ketiga-tiga model Perodua ini memerlukan kos penyelenggaraan dalam harga yang hampir sama.
Proton X50 — harga sesuai prestasi
Bagi X50, kosnya lebih mahal tentunya, dengan RM5,048.70 bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km — RM1,513.83 lebih mahal berbanding kos Traz. Untuk kereta di bawah harga RM100k, ini satu angka yang besar. Hal ini kerana, X50 memberikan lebih prestasi.
Kelengkapan yang perlu diganti untuk X50 yang tidak perlu dilakukan terhadap Traz adalah seperti penapis bahan api (RM83.80, ditukar berselang-seli ketika servis berjadual), penukaran minyak transmisi klac berkembar (RM346.92 pada 80k km; Traz perlu menukar minyak CVT juga, tetapi dengan kos RM140.70), dan coolant enjin (RM135.45 pada 60k km).
X50 menggunakan empat liter minyak enjin setiap kali servis (Traz hanya 3.5 liter), dengan kos untuk alat ganti lain juga lebih mahal untuk X50. Sebagai contoh, penapis minyak X50 ialah RM50.25, dua kali harga barangan yang sama untuk Traz (RM19.80); begitu juga dengan penapis kabin N95. Selain harga alat ganti, penggantiannya juga lebih kerap — seperti penapis udara, yang perlu ditukar sekali setiap dua kali servis (Traz hanya sekali dalam empat kali servis).
Perbezaan paling ketara antara dua model ini adalah ketika servis pertama: untuk Perodua Traz, ia hanya kunjungan untuk pemeriksaan biasa secara percuma, tetapi untuk X50 ia melibatkan penukaran minyak enjin dengan kos RM228.
Beza harga kos penyelenggaraan X50 ini boleh jadi lebih tinggi sekiranya penukaran auxiliary belt perlu dilakukan pada jarak 100k km; mujur ia hanya akan dilakukan pada jarak 110k km, dan tidak termasuk dalam jadual 100k km ini. Barang tersebut hanya perlu ditukar dalam kitaran 10-tahun sekali dengan kos RM147.57. Untuk semua ini, X50 akan memberikan anda lebih kuasa dan enjin yang lebih canggih, yang ditimbal dengan harga yang lebih mahal.

Tayar, bateri dan kadar penggunaan minyak
Bagaimana pula dengan alatan lain, seperti bateri dan tayar? Seperti Traz, dua varian teratas Ativa menggunakan tayar bersaiz 17-inci (profile lebih tinggi untuk Traz), namun tayar Bridgestone Turanza T005A yang digunakannya lebih mahal untuk diganti berbanding tayar Toyo Proxes CR1 yang digunakan oleh Traz. Ini sekiranya anda masih mahu kekal menggunakan tayar seperti ketika kereta keluar kilang; tentu saja boleh ditukar ke pilihan lain yang lebih murah, kalau mahu.
Untuk X50, dua varian paling tingginya menggunakan saiz 18-inci, dengan tayar premium Continental UltraContact UC6 (kilang Continental sudah tidak lagi beroperasi di Malaysia, jadi kosnya juga akan lebih tinggi untuk ditukar), sementara varian Executive paling asas menggunakan tayar Giti dengan saiz yang sama dengan Traz — 215/60 R17.
Tidak seperti model Perodua yang lain, Traz tidak mempunyai ciri Eco Idle auto start-stop. Ini bermaksud ia boleh menggunakan bateri 12V yang paling asas, dan tidak perlukan unit bateri Enhanced Flooded Battery (EFB) seperti untuk Ativa dan lain-lain. NS40 pun boleh diguna.
Yang terakhir adalah tentang penggunaan minyak. Perodua mendakwa Traz boleh mencapai tahap 21.3 km/liter mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC), sementara untuk Ativa dengan 18.9 km/l dalam mod ECE. Daihatsu pula mendakwa bacaan 18.6 km/l untuk model Rocky dalam kitaran WLTP yang lebih ketat, jadi angkanya sekitar itu untuk enjin 1.0T berkenaan.

Proton X50 pula mendakwa mampu memberikan bacaan 6.1 liter per 100 km, bersamaan dengan 16.4 km/liter. Namun, perlu diingat, semua angka ini menggunakan kitaran ujian yang berbeza — ini hanya sebagai gambaran kadar penggunaan sahaja: penggunaan sebenar akan memberikan bacaan yang lain lagi.
Sepanjang menggunakan Traz dalam perjalanan dan persekitaran pemanduan yang pelbagai, bacaan penggunaan minyak sebenar yang sempat kami perhatikan adalah sekitar 16 km/liter — angka yang tidak terlalu jauh berbeza berbanding Ativa dan X50. Jadi, kalau ingin berjimat, mungkin lebih elok perhatikan kos penyelenggaraannya sebagai penentu.
Dengan perincian kos penyelenggaraan ini, adakah Traz memberikan nilai tambah yang anda cari?
Perodua Traz 1.5L H dengan GearUp 2026
The post Perbandingan kos servis Perodua Traz 2026 — lagi murah berbanding Proton X50, tapi sama Ativa? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































































































































































































