Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mempertimbang untuk mewajibkan syarikat yang membawa masuk kenderaan elektrik CBU untuk membantu memasang lebih banyak kemudahan stesen pengecasan EV, jelas menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, lapor Free Malaysia Today.
Langkah ini mungkin akan menjadi syarat wajib bertujuan untuk menyokong pertumbuhan EV serta capaian lebih meluas terhadap pengecas EV di seluruh negara. Johari menjelaskan hal ini dalam satu jawapannya dalam sesi di Dewan Rakyat. “Untuk mana-mana kereta CBU yang diimport, kita mahu mereka juga memainkan peranan dalam menyediakan semua kemudahan ini,” jelas beliau.
Setakat 31 Disember 2025, ada sejumlah 5,624 unit pengecas awam yang telah dipasang di seluruh negara, bersamaan dengan 56% daripada sasaran 10,000 pengecas awam seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, yang telah berjaya dicapai. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,923 unit adalah pegecas pantas DC yang telah dipasang, melepasi sasaran 1,500 unit yang ditetapkan. Sementara bagi pengecas AC pula, angkanya sedikit di belakang dengan 3,701 unit atau sekitar 43% daripada sasaran 8,500 unit, jelas beliau.
“Ketersediaan pengecas pantas menjadi faktor yang mempengaruhi keyakinan pengguna untuk beralih kepada EV,” jelas Johari, dan bahawa dengan memberi keutamaan terhadap pemasangan pengecas DC adalah sangat penting dalam membina keyakinan pengguna. Beliau juga turut menggalakkan pemilik EV untuk memasang pengecas di rumah.

Dengan kadar pemasangan pengecas AC yang rendah, Persatuan Kenderaan Sifar Emisi Malaysia (MyZEVA) pada 2024 menganggarkan sasaran untuk mempunyai 8,500 unit pegecas AC awam hanya akan dapat dicapai pada suku ketiga tahun ini.
Antara jenama EV dengan rangakaian pengecas sendiri di Malaysia ketika ini ialah Tesla, yang dikecualikan daripada mempunyai rakan niaga tempatan untuk AP francaisnya di bawah program BEV Global Leaders pada 2023.
Sebagai syarat terhadap keistimewaan itu, Tesla perlu membuka sekurang-kurangnya 30% daripada rangkaian pengecas DC-nya (kadar minimum 180 kW) kepada umum, dan untuk digunakan oleh EV dari jenama lain bermula 2025. Namun perkara ini belum lagi berlaku kerana Tesla Supercharger masih terhad untuk kegunaan kenderaan Tesla sahaja.
The post Pengimport EV CBU mungkin perlu pasang stesen pengecasan; keutamaan untuk pengecas DC — MITI appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















