Saban tahun makin banyak model kereta baharu dilancarkan di negara kita dan ini mendorong peningkatan pembelian di kalangan rakyat Malaysia. Malah pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 820,752 unit kenderaan telah terjual, menjadikannya rekod baharu yang pernah dicapai setakat ini. Ia meningkat sebanyak 0.5% berbanding tahun 2024. Ini juga tahun kedua angka melebihi 800,000 unit berjaya dicapai.
Sambutan luar biasa terhadap pembelian kereta baharu ini turut mendorong peningkatan jumlah pendaftaran kenderaan di negara kita pada tahun 2025. “Pada tahun lalu, sebanyak 1,629,389 unit kenderaan telah didaftarkan. Ia mewakili peningkatan sebanyak 3.78% berbanding 1,570,121 unit pada tahun 2024,” kata Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke, dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam.
Mengikut data yang dikongsikan oleh MOT, daripada jumlah pendaftaran itu, ia melibatkan sebanyak 704,251 unit motosikal dan 861,515 kereta bagi kategori kenderaan persendirian. Manakala untuk kategori kenderaan perdagangan perkhidmatan awam pula, sejumlah 1,221 unit bas, 376 unit teksi dan 5,622 unit kereta sewa telah didaftarkan.
Selain itu, ia juga melibatkan pendaftaran kenderaan perdagangan (barangan) sebanyak 35,414 unit, dan lain-lain kenderaan (seperti jentera, backhoe, Forklift, Off-Road, dan lain-lain) sebanyak 20,990 unit.

Loke turut berkata, untuk tahun 2023 pula, jumlah keseluruhan kenderaan baharu yang didaftarkan di negara ini mencecah 1,533,285 unit dan tahun 2024 pula berjumlah 1,570,121 unit. (Sila rujuk jadual di atas untuk mengetahui jumlah pecahan mengikut jenis kenderaan)
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Haji Onn Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat yang ingin mengetahui jumlah keseluruhan kenderaan baharu yang telah didaftarkan di negara ini bagi tahun 2023, 2024 dan 2025, yang diperincikan mengikut kategori kenderaan berat dan kenderaan ringan, serta jenis kenderaan seperti persendirian, perdagangan dan pengangkutan awam.
Ini bermakna, dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, sebanyak 4,732,795 unit kenderaan baharu telah didaftarkan dengan 4,657,918 daripadanya layak digunakan di jalan raya. Termasuk dengan kenderaan yang sedia ada (pendaftaran lama dan masih digunapakai), ini antara faktor mengapa jalan raya utama di negara ini kian sesak.
Walau pun sesetengah jalan utama dan lebuhraya dilebarkan atau ditambah lorong, peningkatan jumlah kenderaan baharu yang didaftarkan saban tahun mungkin tidak dapat selesaikan isu kesesakan lalu lintas yang kian meruncing terutamanya pada musim perayaan. Kalau daripada sudut ekonomi negara, lonjakan jualan kenderaan saban tahun merupakan perkara positif. Namun, isu kesesakan lalu lintas pula bagai membebani rakyat kita. Apa pendapat anda mengenai isu ini? Kongsikan bersama kami.
The post Pendaftaran kenderaan baharu di Malaysia cecah 1.6 juta pada tahun 2025, naik 3.78% berbanding 2024 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















