Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa bermula 15 November 2025, pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) tidak dibenar keluar Malaysia selagi tidak membayar saman, laporan Bernama.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, kenderaan persendirian individu serta kenderaan persendirian milik syarikat yang tiada VEP, tamat tempoh, atau masih berstatus pradaftar yang terlibat dengan tindakan penguatkuasaan sepenuhnya tersebut.
“Tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di pintu keluar sempadan Malaysia-Singapura,” katanya selepas meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kelmarin.
Beliau turut berkata sebelum ini penguatkuasaan yang dilaksanakan menyaksikan pemandu atau pemilik kenderaan asing hanya dikenakan notis saman dan notis peringatan, namun kini sudah tiba masanya untuk penguatkuasaan penuh dijalankan.
“Sebelum ini, kita hanya adakan operasi di sekitar Johor, tetapi kini kita meluaskan ke seluruh negara. Mana-mana kenderaan Singapura yang tidak mempunyai VEP dan ditahan di mana-mana lokasi di Malaysia, akan dikenakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata sejak penguatkuasaan VEP 1 Julai lalu, sebanyak 303,183 tag RFID telah dipasang bagi kenderaan persendirian individu, manakala 31,643 tag lagi melibatkan kenderaan milik syarikat. Dalam tempoh sama, pihaknya telah memeriksa 55,486 kenderaan dan mengeluarkan 4,028 kompaun terhadap pemilik kenderaan yang tidak mempunyai VEP, dengan jumlah kompaun mencecah RM1.2 juta
Bayaran saman boleh dibuat di kaunter pejabat JPJ, Kaunter Mobile JPJ, kaunter pendaftaran VEP di Danga Bay dan secara dalam talian (myEG).
The post Pemilik, pemandu kenderaan asing dari S’pura yang tidak bayar saman VEP tidak boleh keluar M’sia – JPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















