Mana-mana individu atau organisasi yang ingin membeli petrol atau diesel melebihi 20 liter untuk diisi ke dalam bekas selain tangki kenderaan diwajibkan mendapatkan permit khas, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Perkara ini dilaporkan oleh New Straits Times sebagai sebahagian daripada langkah kawalan terhadap penggunaan bahan api bersubsidi.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, menjelaskan bahawa pembelian bahan api ke dalam bekas tanpa permit hanya dibenarkan dalam situasi kecemasan dan tidak boleh melebihi 20 liter. Had ini bertujuan mengelakkan penyalahgunaan bahan api terkawal oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol atau diesel dari stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan perlu memohon dan mendapatkan kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Pembelian di bawah permit ini hanya terpakai bagi kuantiti 20 liter ke atas dan tertakluk kepada harga semasa di pam.
Selain itu, hanya pemegang permit khas dibenarkan membuat pembelian bahan api dalam kuantiti besar menggunakan tong atau bekas lain di stesen minyak. Bagi mereka yang tidak mempunyai permit, pembelian dalam bekas hanya dibenarkan untuk kecemasan dan dalam jumlah kurang daripada 20 liter.
Antara pihak yang layak memohon permit termasuk pengendali forklift, sektor pengangkutan air dan rekreasi air, industri makanan, pertanian dan perladangan, perkhidmatan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan skala kecil. Penduduk di kawasan luar bandar dan pulau juga termasuk dalam kategori yang layak.
Pemegang permit dibenarkan menggunakan tong, bekas plastik atau apa-apa bekas yang sesuai dan selamat, tertakluk kepada syarat yang diluluskan seperti jumlah kuantiti, lokasi stesen minyak, tempoh serta kekerapan pembelian.
Terdahulu, satu insiden tular melibatkan dua individu mengisi petrol RON95 ke dalam beberapa bekas di sebuah stesen minyak di Skudai, Johor. Hasil siasatan mendapati individu terbabit merupakan warganegara Malaysia dan pemegang MyKad. Susulan itu, Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa tindakan akan diambil, termasuk menyekat kelayakan penggunaan subsidi di bawah program Budi95 terhadap individu dan kenderaan yang terlibat.
The post Pembelian petrol, diesel lebih 20 liter dalam bekas luar tangki kenderaan perlu permit khas – pengarah KPDN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















