Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengutarakan cadangan kepada pemaju kediaman yang berada dekat dengan stesen tren supaya mengurangkan jumlah petak parkir bagi projek pembangunan yang baru. Beliau menjelaskan, cadangan tersebut telah di usulkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan menyatakan keperluan untuk menyediakan satu atau dua unit parkir untuk setiap unit menjadi antara faktor yang menyumbang kepada naiknya harga hartanah.
Cadangan ini sangat masuk akal, terutama bagi segelintir orang yang tempat kerjanya berada berdekatan dengan jajaran rangkaian tren sedia ada ketika ini. Ini tambahan pula menjadi pilihan yang menarik buat mereka yang masih bujang dan tiada keperluan untuk menghantar-jemput anak kecil. Dan, jika ada keperluan untuk menggunakan kereta bagi aktiviti yang bukan rutin, sentiasa ada perkhidmata e-hailing untuk dimanfaatkan. Pendekatan seperti ini sudah banyak dilakukan di merata tempat, terutama di kota-kota utama.
“Bagi projek kediaman yang berdekatan dengan stesen pengangkutan awam seperti LRT atau MRT, keperluan ruang parkir boleh dikurangkan untuk menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam,” jelasnya dalam satu sidang media selepas melancarkan bangunan pejabat Multiplex Land yang baru serta pra-pelancaran Residensi Alamanda Heights di Serdang semalam, seperti dilaporkan Bernama.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, beberapa projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Kuala Lumpur dibenarkan untuk memohon pengecualian bagi keperluan ruang parkir daripada pihak berkuasa tempatan. Loke juga menekankan bahawa cadangan tersebut hanya untuk pembangunan baru dan disasarkan untuk golongan muda yang tinggal berdekatan dengan rangkaian pengangkutan awam.
“Sekiranya mereka tinggal berdekatan dengan stesen pengangkutan awam, keperluan untuk memiliki kereta juga mungkin menurun. Ini akan membantu mengurangkan kos sara hidup mereka,” jelas Loke, dan turut menambah bahawa usaha ini dihasratkan untuk menyokong peralihan jangka masa panjang ke arah gaya hidup yang lebih banyak bergantung kepada pengangkutan awam.
Sekurang-kurangnya, pendekatan ini akan memberi pilihan kepada masyarakat — ditambah dengan adanya skim seperti My50 (dengan kos pengangkutan awam hanya RM50 sebulan), ia merupakan sesuatu yang wajar dipertimbangkan demi kualiti hidup di kawasan bandar yang lebih baik.
Bagaimana pula pandangan anda?
The post Pemaju kediaman dekat stesen tren digesa kurangkan ruang parkir, galakkan guna pengangkutan awam appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















