Untuk anda yang masih mempunyai saman trafik tertunggak yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), mulai 1 Nov hingga 30 Dis ini, kerajaan akan menawarkan diskaun saman trafik terpilih hingga 70%. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut berkata, dianggarkan sebanyak RRM6.6 bilion jumlah tunggakan saman yang belum dibayar.
“Sekiranya tawaran diskaun ini mendapat sambutan, kita dapat kurangkan beban tunggakan itu dengan signifikan. Selepas ini, kedua-dua agensi iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM akan menilai semula langkah penguatkuasaan terhadap mereka yang masih gagal membuat pembayaran,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam.
Berkenaan dengan kutipan saman, Saifuddin Nasution berkata, bagi tempoh 2022 hingga 2025, PDRM telah mengutip sebanyak RM640 juta hasil penyelesaian saman, laporan Harian Metro.
“Sepanjang tahun 2022, polis trafik telah menawarkan pengurangan 50% dan berjaya menarik penyelesaian sebanyak 327,369 saman, dengan kutipan RM60.8 juta. Pada tahun 2023, tawaran diskaun kekal 50%, termasuk satu lagi tawaran khas potongan RM50 bagi semua saman. Hasilnya, 2.7 juta saman berjaya diselesaikan dengan kutipan RM211 juta.

“Bagi tahun 2024, diskaun 50%s, 30% dan 60% ditawarkan, dan 678 ribu saman berjaya diselesaikan dengan kutipan RM119 juta. Sementara bagi tahun 2025 iaitu Januari hingga September, diskaun 50% dan 30% ditawarkan, dengan 1.73 juta saman berjaya diselesaikan dan kutipan RM249 juta,” katanya.
Semalam, Loke telah mengumumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk menyelaraskan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun yang dikeluarkan oleh JPJ dan PDRM bagi memastikan keseragaman dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya di seluruh negara. Di mana mulai 1 Jan 2026,diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.
Tambah Loke, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50%, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33%. Manakala bayaran yang dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari pula dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.
Bagaimanapun, katanya, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) palsu.
The post PDRM tawar diskaun saman trafik hingga 70% mulai 1 Nov-30 Dis 2025 – tunggakan saman cecah RM6.6b appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















