Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa pihaknya menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang meneliti untuk memasang kamera papan pemuka (dashcam) dalam setiap kenderaan polis, dan satu cadangan berhubung inisiatif itu akan dikemukakan tidak lama lagi kepada Ketua Polis Negara (KPN).

Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan serta membolehkan pihak polis merakam dan menilai setiap insiden dengan lebih terperinci, laporan Bernama.

“Cadangan ini merupakan satu langkah positif yang akan memudahkan kami mengenal pasti punca kemalangan atau insiden lain yang melibatkan pengguna jalan raya,” katanya.

Cadangan untuk melengkapkan semua kenderaan polis dengan peranti tersebut dibuat susulan cadangan PDRM supaya penggunaan dashcam diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya. Pada masa ini, dashcam masih dianggap sebagai aksesori dan tidak diwajibkan, namun PDRM berpendapat perkara itu wajar dinilai semula oleh pihak berkuasa, khususnya Kementerian Pengangkutan.

Pada tahun 2024, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam pada semua kenderaan di negara ini. Beliau menyatakan bahawa pelbagai aspek perlu dipertimbangkan, termasuk kos pembelian dan pemasangan yang perlu ditanggung oleh pemilik kenderaan sekiranya peranti tersebut diwajibkan.

The post PDRM pertimbang semua kenderaan polis dilengkapi dashcam – cadangan akan dikemuka kepada KPN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts