Pasukan lumba dari Malaysia, Viper Niza Racing sekali lagi mengharumkan nama negara di persada sukan bermotor antarabangsa apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang di podium perlumbaan ketahanan Paul Ricard 12 Jam di litar Paul Ricard, Perancis hujung minggu lalu.
Namun kejayaan yang dikecapi ini tidak datang dengan mudah kerana perjuang pasukan tersebut hampir terpaksa pulang awal sebelum perlumbaan sebenar bermula. Ini kerana hanya dua minit selepas sesi kelayakan kedua bagi kelas GT3 pada hari Jumaat (4 Julai) berlangsung, salah seorang pemandu pasukan tersebut iaitu Dominic Ang terlibat dengan kemalangan di mana jentera Mercedes-AMG GT3 EVO yang dipandunya merempuh penghadang konkrit, menyebabkan kerosakan teruk pada casis.
Walau bagaimanapun dalam masa 24 jam, pasukan Viper Niza berjaya mendapatkan jentera gantian yang disewa untuk memulakan perlumbaan. Kereta berkenaan yang juga sebuah Mercedes-AMG GT3 EVO kebetulan berada di litar tersebut, dan digunakan untuk sesi ujian oleh pasukan Red Ant Racing sebelum itu.
Jadi walaupun tidak sempat menguji jentera gantian tersebut dan perlu memulakan perlumbaan dari petak terakhir, Viper Niza Racing berjaya menamatkan perlumbaan ini di tempat ke lapan keseluruhan, serta ketiga dalam kelas GT3-AM!
“Cengkaman semasa litar dalam keadaan panas adalah tidak bagus tetapi apabila anda kehilangan cengkaman kereta biasanya masih dapat dipandu keluar ke kawasan run-off. Ketika ini, kami masih cuba mencari apa yang sebenarnya berlaku dan kami syak bahawa ia mungkin disebabkan oleh komponen yang longgar,” kata prinsipal pasukan dan pemandu utama Viper Niza Racing, Douglas Khoo.
Juara keseluruhan perlumbaan ini dinobatkan kepada pasukan Proton Huber Competition yang menggunakan jentera Porsche 911 GT3R, meninggalkan Mercedes-AMG GT3 EVO pasukan Red Ant Racing hanya 3.4 saat di belakang. Keputusan yang dicatatkan kali ini juga membolehkan pasukan Viper Niza menerima anugerah Spirit of the Race dari penganjur.
“Untuk menamatkan dengan cara yang kami lakukan adalah tidak kurang daripada hadiah dari Tuhan. Di satu ketika kami amat bertuah kerana dapat sebuah Mercedes-AMG GT3 EVO tetapi kami hampir tidak mempunyai masa menguji kereta sebelum permulaan perlumbaan untuk membiasakan diri. Kami mengambil pendekatan berhati-hati dalam beberapa jam pembukaan perlumbaan dan setelah semua pemandu serasi, kami mula mendapat rentak. Konsisten juga menjadi faktor utama dan kami sangat gembira dengan keputusan ini,” tambah Khoo.
Viper Niza Racing turut disertai oleh Melvin Moh sebagai pemandu ketiga. Ini adalah keputusan terbaik yang pernah dicatatkan oleh pasukan tersebut di Litar Paul Ricard. Kali terakhir Viper Niza Racing berlumba di litar sepanjang 5.842 km berkenaan adalah pada 2018, menggunakan jentera Ligier JSP3 dalam kelas LMP3, menamatkan perlumbaan selama empat jam di tempat ke-13 keseluruhan dari 27 kereta yang bertanding.
Keputusan kali ini juga membolehkan Viper Niza berada di tempat ke-empat dalam carta pungutan mata kelas GT3-AM untuk kejohanan 24H Series Eropah 2025. Pusingan kelima yang juga terakhir untuk musim 2025 ini akan dilangsungkan di Barcelona, Sepanyol September nanti.
The post Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.