UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini melancarkan pasukan lumba Toyota Gazoo Racing (TGR Racing) Malaysia yang bakal bersaing di perlumbaan Thailand Super Series (TSS) untuk musim penuh tahun ini. Pasukan yang berpangkalan di GR Malaysia Garage terletak di kilang pemasangan Toyota Bukit Raja, Shah Alam berkenaan bakal bertanding dalam kelas tertinggi TSS iaitu GT4, mempertaruhkan dua buah Toyota GR Supra GT4 Evo2 yang berwarna biru metalik.
Pasukan ini dipimpin oleh Jason Ong yang bertindak sebagai Prinsipal Pasukan, bersama salah seorang ikon budaya ubahsuai kereta Jepun yang juga pemandu profesional yang pernah menjuarai Super GT kategori GT500, Le Mans 24 Jam kategori LMGT3 dan Nurburgring 24 Jam iaitu Akira Iida yang akan bertindak sebagai Pengarah Pasukan.
Manakala barisan pelumba pasukan TGR Racing Malaysia pula menggandingkan pemandu-pemandu muda dan berpengalaman, dan telah menempa nama dipersada antarabangsa. Kereta nombor #81 akan dikemudi oleh pasangan Shaun Thong dan Weiron Tan, manakala kereta nombor #83 dipandu oleh pasangan Nazim Azman dan Putera Adam.
Kedua-dua jentera ini akan berhadapan dengan pelbagai jentera lumba kelas GT4 dari jenama lain termasuk Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercedes AMG GT4, Aston Martin Vantage GT4 dan sekitar lima buah GR Supra GT4 lain yang turut digunakan oleh satu lagi pasukan dari Malaysia iaitu Wing Hin Motorsport.
Shaun Thong yang berumur 31 tahun merupakan pelumba paling berpengalaman dalam pasukan ini di mana beliau yang merupakan pelumba paling muda memulakan perlumbaan di Asian Formula Renault ketika berumur 16 tahun kini telah mencatatkan 45 rekod kemenangan, tujuh gelaran juara kejohanan dan telah memulakan 250 perlumbaan. Antara perlumbaan yang pernah disertai Thong termasuk British Formula Renault, Formula Ford UK, Euro Formula Open F3 Nurburgring 24H (dengan Audi) GT World Challenge Asia, Asian Lemans LMP3 Series, Super GT300, Super Taikyu Endurance dan banyak lagi.
Manakala pasangannya Weiron Tan juga berumur 31 tahun pula merupakan juara Lotus Supercup GT4 Series pada tahun 2011 dan juga merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah menang perlumbaan di litar berbentuk oval di Amerika Syarikat menerusi perlumbaan Pro Mazda Championship 2015. Tan juga pernah berlumba di Asian Le Mans Series dengan jentera kelas LMP, China GT Championship, FIA World Endurance Championship, GT World Challenge Asia Series serta merupakan pemandu rasmi pasukan Audi Sport Asia serta pemandu pembangunan junior dalam pasukan Carterham F1.
Bagi Nazim Azman yang kini berusia 24-tahun memulakan karier pelumbaan di peringkat antarabangsa bermula dengan Italian Formula 4 pada 2018, dan kemudian beralih British Formula 3 Championship, Euro Formula Open Championship dan telah berjaya melangkah ke FIA Formula 3 Championship. Sebelum menyertai pasukan TGR Malaysia ini, Nazim merupakan pemandu rasmi pasukan Porsche Malaysia dalam perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) untuk musim 2023 dan 2024.
Pasangan Nazim iaitu Putera Adam yang berumur 19-tahun pula merupakan pelumba paling muda dalam pasukan ini, dan merupakan ‘produk’ program pembangunan bakat muda Toyota Gazoo Racing Malaysia yang berlumba dalam kategori Rookie perlumbaan Vios Challenge Malaysia. Walaupun masih muda, Adam telah dinobatkan sebagai juara Lamborghini Super Trofeo Europe Championship 2015 dalam kategori Pro, serta pernah berlumba di TSS 2023 dalam kategori GTC.
“Bagi Toyota, budaya perlumbaan bukan sekadar aktiviti kompetitif, sebaliknya teras kepada falsafah kami dalam mempertingkat mutu dan prestasi. Setiap penyertaan membawa aspirasi untuk mencapai standard tertinggi serta meraih kemenangan, kerana gelanggang sebenar perlumbaan menjadi penentu aras keupayaan sebenar sesebuah pasukan. Sejak diperkenalkan, Toyota Gazoo Racing berkembang sebagai platform yang merangsang pertumbuhan industri sukan permotoran tempatan, menyatukan komuniti perlumbaan dan memupuk bakat baharu. Evolusi seterusnya ini menandakan langkah kami ke arena perlumbaan GT serantau, sekali gus terus mengangkat dan menetapkan penanda aras baharu bagi sukan permotoran Malaysia,” kata Datuk Ravindran K, Presiden UMW Toyota.
Bagi penyertaan musim pertama ini, TGR Racing Malaysia meletakkan penekanan terhadap fasa persediaan dan pembelajaran yang sistematik. “Justeru, pendekatan berperingkat akan dilaksanakan bagi membolehkan pasukan membina asas kukuh sebelum tampil sebagai pencabar utama dalam siri berkenaan. Usaha ini merangkumi pemindahan kepakaran teknikal dan operasi kepada tenaga kerja tempatan yang akan bekerjasama rapat dengan rakan sepasukan dari Jepun, sekali gus memperkukuh keupayaan dalaman pasukan untuk tempoh jangka panjang,” kata pasukan tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Thailand Super Series 2026 akan bermula dengan ujian pramusim pada 22 hingga 23 April di Litar Antarabangsa Chang, diikuti pusingan pembukaan dari 21 hingga 24 Mei di litar yang sama. Pusingan kedua dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 5 Julai sempena ulang tahun ke-20 Bangsaen Grand Prix di Chonburi. Saingan kemudian beralih ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas bagi pusingan ketiga dan keempat, masing-masing pada 21 hingga 23 Ogos serta 18 hingga 20 September, sebelum musim melabuh tirai di Litar Antarabangsa Chang dari 30 Oktober hingga 1 November.
GALERI: Foto Rasmi Toyota GR Supra GT4 Evo2 pasukan TGR Racing Malaysia
The post Pasukan TGR Racing Malaysia dilancar – sertai Thailand Super Series dengan GR Supra GT4 Evo2 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















































