Sebenarnya bukanlah suatu kejutan apabila Proton buat keputusan untuk ‘menyuap’ enjin Intelligent Green Technology (i-GT) 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder bagi menggantikan enjin terdahulu 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder untuk SUV X70 2026. Sama seperti yang dibuat untuk X50 facelift. Enjin baharu ini mampu menghamburkan 181 PS pada 5,500 rpm dan tork 290 Nm antara 2,000 hingga 3,500 rpm. Sekaligus memberikan peningkatan angka prestasi sebanyak 4 PS dan 35 Nm berbanding enjin terdahulu (177PS/255 Nm).
Proton berkata enjin baharu ini mampu meningkatkan tindak balas pendikit yang lebih lancar dan pantas pada julat rendah hingga sederhana. Selain itu, enjin ini dikatakan lebih bertenaga dan paling penting mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.
Dua hari sebelum pelancarannya, kami telah diundang oleh Proton untuk melenjan X70 2026 di litar ujian di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam. Untuk sesi pandu uji ringkas ini, Proton menyediakan varian paling tinggi iaitu Premium.
Pertama kali ‘bertentangan mata’ dengan X70 baharu ini, terus terdetik di dalam hati, “Sama saja rupa luaran dan dalaman dengan versi terdahulu…” Memang betullah…tiada perubahan imej luaran. Cuma untuk varian tertinggi ini, ia sudah tidak diberikan bumbung suria panoramik, tidak seperti yang ditampilkan pada varian tertinggi Premium X untuk X70 yang diperkenalkan dua tahun lalu. Bagai downgrade kan..
Selain itu, X70 MC3 2026 ini menggunakan tayar GitiComfort F50 bagi menggantikan Continental UltraContact UC6 kerana kilang Continental di Alor Star telah ditutup hujung tahun lalu. Untuk ciri kelengkapan lain, anda boleh baca artikel pelancaran X70 MC3 2026 DI PAUTAN INI.
Bagaimana agaknya prestasi X70 baharu ini? Tak boleh nak ulas terperinci memandangkan peluang memandu uji di litar ujian COE kelmarin hanya sekejap sahaja, tapi bolehlah sekadar memberikan gambaran dan tanggapan serba ringkas untuk prestasi dan pengendaliannya.

Terlebih dahulu, usah anggap X70 sudah bertukar menjadi SUV berprestasi tinggi. Cuma dengan ditampilkan enjin i-GT 1.5L turbo empat-silinder ini membuatkan ia sedikit padu berbanding versi terdahulu.
Permulaan menggerakkan X70 2026 ini dengan kelajuan yang begitu sederhana mendorong sistem mekanikalnya memberikan maklumbalas yang menyenangkan. Kemudian kelajuan sedikit dipertingkatkan sekitar antara 20-30 km/j bagi melakukan ujian slalom, ketika ini tidak dapat dirasai prestasi enjinnya kerana lebih tertumpu pada aspek pengendalian.
Untuk X70 2026 ini, Proton telah melakukan talaan semula bagi sistem suspensi termasuk menambahbaik tahap bunyi jalan raya pada frekuensi rendah hingga sederhana, impak ketegaran gandar belakang serta kapasiti sokongan olengan bagi X70 2026. Bukan itu sahaja, X70 2026 ini juga ditambahbaik sistem sterengnya termasuk bagi nisbah stereng dan juga tindak balas stereng yang lebih cekap dan pantas.
Perubahan yang dilakukan ini memang menepati kerana terasa perubahan ketara pada karakteristik pemanduan yang lebih memuaskan. Kawalan stereng terasa lebih ‘tajam’ dan tidak terlalu berat. Walau pun masih terasa olengan badan namun ia berskala sederhana dan masih terkawal. Pergerakan badannya juga lebih lancar dan seimbang, selari dengan sudut stereng yang digunakan ketika itu.

Walau bagaimana pun, saya tidak dapat merasai keselesaan pemanduan dalam keadaan yang tidak rata, atau beralun memandangkan keadaan litar ujian proton yang cantik dan rata. Tapi kalau ikutkan pengalaman sewaktu memandu X70 di Sabah pada tahun 2024, memang rasa puas hati juga dengan keselesaan mengendalikannya memandangkan keadaan jalan di Negeri Bawah Bayu memang ada kepelbagaian corak dan ‘rupa’.
Dan dengan sistem suspensi dan stereng yang ditala semula, saya meletakkan keyakinan bahawa pengendalian X70 2026 semestinya bertambah mantap di jalan raya. Kalau nak tahu, telahan saya ini benar atau ‘melencong’, kena tunggu masa mengujinya di jalan raya.
Sewaktu memacu X70 2026 di laluan selekoh condong (banked curve) yang mempunyai kecondongan maksimum hingga 45 darjah, prestasi enjin teruji. Instruktor pemandu yang bersama saya ketika itu menyarankan agar saya memandu dalam kelajuan antara 90-100 km/j. Namun tanpa sedar, kelajuan menghampiri 120 km/j walau pun saya tidak mengenakan tekanan keras pada pedal pendikit. Ternyata begitu mudah enjin memuntahkan kuasa tanpa kerahan tenaga. Walau bagaimana pun pemanduan masih mudah terkawal dan stabil biar pun dalam kelajuan yang agak tinggi dengan corak jalan sebegitu. Saya juga berharap SUV ini tidak ‘begitu semput’ sekiranya dipandu di laluan berbukit.

Apa yang paling menarik perhatian saya, tahap NVH X70 kali ini memang superb dan wajar dipuji. Ia lebih baik berbanding enjin sebelum ini. Ternyata enjin I-GT yang lebih diperhalusi ini membuatkan tahap bunyi dan getaran jauh lebih rendah. Malah sewaktu enjin diperah sepenuhnya (full throttle), ia kekal senyap. Bunyi geseran tayar dan desiran angin yang meresapi ruang kabin sewaktu SUV ini dipacukan juga lebih minimal.
Ternyata apa yang didakwa oleh Proton bahawa tahap NVH SUV ini telah berkurangan sebanyak 4.5% dan 25.24% lebih senyap bukanlah omong kosong.
Walau bagaimana pun, prestasinya sedikit ‘spoil’ disebabkan tindak balas transmisi DCT yang agak perlahan. Ia seakan bermula dari gear kedua, sebelum mengambil masa turun ke gear pertama dan menyebabkan decitan tayar yang menghasilkan bunyi geseran yang agak kuat. Tayar juga mengambil masa untuk mencengkam sepenuhnya. Ia kerap terjadi sekiranya SUV ini mula digerakkan secara mendadak atau tiba-tiba terus memecut. Situasi sebegini memang berlaku sejak versi X70 sebelum ini.

Secara konklusi, dari aspek mekanikal, memang bertepatan perubahan yang dilakukan terutamanya dengan pemberian enjin i-GT yang lebih ‘ngam ho’ berbanding penjana kuasa terdahulu. Tahap NVH yang dipertingkatkan ini juga antara bonus untuk X70.
Selain itu, penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan seperti yang didakwa oleh Proton di mana X70 2026 ini mampu mencatatkan angka penggunaan bahan api sekitar 6.9 liter bagi setiap 100 km. Proton turut mendakwa padanan enjin baharu dengan transmisi ini telah membuatkan penggunaan bahan api pada SUV ini berkurangan sebanyak 5.5% berbanding model terdahulu.
Dengan segala macam ‘jajan’ (ciri kelengkapan) yang ditampilkan pastinya menjadi antara taruhan utama untuk menjadikan X70 2026 ‘king’ bagi SUV segmen-C. Oh lupa pula. Harga atas jalan yang diberikan rebat sebanyak RM7,000 untuk 1,500 unit pertama sahaja juga menarik perhatian. Dengan penawaran rebat itu, harga bagi varian 1.5TD Executive ialah RM99,800 dan model spesifikasi penuh 1.5TD Premium berharga RM112,800. Kedua-duanya harga atas jalan dan tanpa insurans. Walau bagaimana pun, selepas 31 Mac 2026 (atau selepas 1,500 pembeli pertama memasuki senarai tempahan), harganya akan menjadi RM106,800 bagi Executive dan RM119,800 untuk Premium.
GALERI: Proton X70 MC3 2026 varian Premium
The post PANDU UJI: Proton X70 2026 – tanggapan awal bagi prestasi enjin, pengendalian dan NVH yang lebih padu appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















































































































































