Selain dari membelek setiap perincian Proton Saga MC3 2026 di kilang Proton Tanjung Malim dalam satu sesi pratonton media minggu lalu, kami turut diberi peluang untuk menyertai satu pandu uji ringkas terhadap model tersebut di litar ujian yang ada fasiliti berkenaan.
Tak banyak aspek dapat diuji, tapi cukuplah dahulu sekadar ‘salam perkenalan’ bagi membayangkan prestasi sebenar sedan paling mampu milik Proton yang telah dipertingkat dalam pelbagai aspek ini, terutamanya pada unit rangkaian kuasa dan juga kemaskini yang dibuat pada casis.
Penulis akan teruskan artikel ini terus kepada aspek pandu uji kerana perincian penuh berkenaan Saga ini telahpun dikupas dan boleh anda baca pada PAUTAN INI. Dan pada sesi ini, Proton hanya menyediakan Saga MC3 2026 dalam varian paling tinggi iaitu Premium.
Jadi mari masuk ke kabin. Pada ruang ini anda akan dapat rasakan suasana baharu dengan papan pemuka yang dirombak sepenuhnya. Rasa seperti ada ajakan untuk memandu terus dapat dirasai selepas memegang roda stereng yang kini lebih kecil dan rata di bawah, diambil terus dari model-model Geely-Proton seperti X50 dan juga S70.
Namun perasaan berada dalam sebuah Saga masih dirasai. Ini kerana ia masih diberikan tempat duduk yang hampir sama seperti sebelumnya yang memberikan posisi duduk yang sedikit ‘tertenggek’, dan bahu rasa terturun jauh ke bawah ketika menurunkan tuil brek tangan.
‘Rasa Saga’ juga disumbang kerana kelebaran Saga MC3 ini masih sama, dan untuk penulis yang berbadan agak besar terasa hampir berlaga bahu sekiranya ada penumpang duduk di sebelah. Namun posisi tombol gear masih lagi tinggi dan mudah dicapai dan dialihkan posisinya, begitu juga untuk mengoperasikan butang-butang kawalan di konsol tengah terutamanya untuk sistem pendingin hawa.
Setelah gear ‘D’ dipilih dan pedal pendikit dikerah semahunya, Saga ini terus berlepas dengan responsif tetapi masih menghasilkan raungan klasik mana-mana kenderaan yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Namun raungan tersebut tidak kekal lama apabila kelajuan enjin dan kotak gear bertemu dengan ‘titik sepadan’ dan menghasilkan pemanduan yang sepatutnya.
Secara jujur, dalam pecutan pertama ini tidak terasa sebarang lag berlaku, dan rasa rubber band effect juga tidak ketara. Dan pengalaman ini juga dirasai sebelum penulis mengetahui bahawa Saga MC3 ini sebenarnya masih dibekalkan dengan kotak gear CVT yang dibekalkan oleh Punch Powertrain, dan ia masih menggunakan mekanisma start clutch untuk bergerak, dan bukannya torque converter.
Pada yang belum tahu, Saga 2026 ini juga telah menerima enjin 1.5L i-GT baharu dengan bentangan empat-silinder sebaris DOHC DVVT. Enjin ini didakwa ditala bagi menghasilkan sebanyak 120 PS dan tork maksima 150 Nm, jauh lebih berkuasa dari enjin Campro 1.3L terdahulu yang hanya berkemampuan menghasilkan kuasa 95 PS/120 Nm.
Jadi dengan sekali pijak pedal, tiada lagi ‘termenung’ seperti Saga sebelum ini di mana ia terus memecut dengan lebih laju. Dan dalam sesi ini Proton turut menyediakan sebuah Perodua Bezza 1.3L untuk perlumbaan drag 400 meter. Dengan mudah Saga meninggalkan Bezza tanpa penumpang tersebut walaupun Saga yang penulis pandu membawa dua orang penumpang sebagai beban.
Walau bagaimanapun penulis dapat rasakan ia tidaklah memberikan rasa pecutan yang sepatutnya diberikan oleh sebuah enjin yang menghasilkan kuasa 120 PS/150 Nm. Malah pada pendapat penulis Proton Persona dengan enjin Campro 1.6 liter dapat memberikan rasa pecutan yang lebih baik walaupun atas kertas kuasa yang dicatatkan hanya 109 PS/150 Nm.
Apa pun enjin ini memberikan nilai tambah kepada Saga lebih dari sekadar kuasa. Menurut Proton, versi yang dipadankan dengan kotak gear CVT ini mampu menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mencapai 5.1L/100 km – kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC. Malah ia juga tidak lagi menggunakan mekanisma timing belt seperti Campro, digantikan dengan sistem timing chain dengan kos penyelenggaran lebih rendah.
Bukan hanya ujian pecutan, penulis dan media lain juga dapat menguji Saga 2026 di atas litar pengendalian. Saga sebelum ini sudahpun terkenal sebagai sebuah sedan mampu milik, tetapi memberikan tahap pengendalian dan juga keselesaan yang sangat baik.
Dan untuk Saga 2026, aspek tersebut dapat dipertingkatkan lagi oleh jurutera Proton. Sebaik masuk ke selekoh, apa yang penulis dapat rasakan adalah rasa stereng yang diberikan masih lagi tajam dan responsif, walaupun model baharu ini telah bertukar menggunakan sistem stereng kuasa bantuan elektrik berbanding hidraulik sebelum ini.
Daya olengannya juga sudah berkurangan, dan dapat jelas dirasai bahawa Saga 2026 lebih stabil ketika masuk ke selekoh dengan laju, dengan bahagian ekor yang lebih mudah untuk dikawal. Ini kerana talaan suspensi bagi Saga ini sememangnya telah dibuat semula, dan ia kini turut menggunakan bar anti oleng dengan diameter lebih besar.
Walau bagaimanapun penulis tidak dapat menguji pengendalian Saga ini ke had yang lebih tinggi. Ini kerana walaupun cengkaman tayar dan kestabilan badan dapat dirasai boleh ‘dihenyak’ lagi, penulis tidak dapat memandu dengan lebih laju kerana badan telah mula beralih dari tempat duduk yang ‘kurang memeluk’ terlebih dahulu.
Untuk kesimpulan, pada pendapat penulis ya memang Saga MC3 ini sebuah model yang jauh lebih baik bukan sahaja berbanding Saga MC2, malah juga berbanding Perodua Bezza. Namun ia masih sebuah Saga – tahap solid badan dan pengendaliannya, keselesaan, malah penyampaian kuasa yang diberikan masih belum sampai ke tahap Proton Persona.
Diharapkan dengan sesi ringkas ini dapat memberikan bayangan awal kepada anda bagaimana kerekteristik Proton Saga 2026. Jadi nantikan ulasan yang lebih panjang bakal kami sediakan sekiranya diberikan peluang untuk menguji Saga ini dalam dunia sebenar.
Proton masih belum menyebut sebarang angka bagi membayangkan harga jualannya, di mana ia dijangka akan diumum ketika ia dilancarkan tidak lama lagi.
GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026
GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026
GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026
GALERI: Slaid pembentangan Proton Saga MC3 2026
The post PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















































































































































































































































































































































































