Tak tahulah di negara lain macam mana, tapi untuk pasaran Malaysia bagi menghasilkan sebuah kereta entry level bukannya mudah. Untuk yang lebih berkemampuan, mereka mungkin ada kereta berlainan untuk tujuan berlainan – misalnya kalau nak jalan jauh ada sebuah MPV besar, nak angkut barang ada ‘Hailak’ yang garang tapi tak pernah masuk hutan, nak hantar anak pergi sekolah, ke surau atau ke pasar mungkin ada sebuah EV comel yang efisien untuk digunakan, dan hujung minggu mungkin ada kereta sukan dua-pintu untuk melepak dengan kawan-kawan.
Tapi untuk golongan marhaen, kesemua ‘tugas’ berkenaan hanya diserahkan pada sebuah kereta, dan kereta tersebut juga perlu dijual pada harga yang rendah. Tak ke pening kepala jurutera nak buat sebuah kereta yang boleh buat semua benda tapi harga nak kena murah?
Jadi sebab itulah kenapa Perodua boleh menguasai pasaran automotif di Malaysia. Model-model seperti Perodua Axia, Bezza dan Myvi dapat menunaikan hampir semua keperluan rakyat Malaysia tersebut dan ditawarkan pada harga yang cukup rendah. Dan hanya kelemahan yang jelas dan boleh di ‘komplen’ pada model-model keluaran Perodua ini adalah pengendalian yang macam ‘sampan’, manakala bagi model-model lebih kecil seperti Axia dan Bezza adalah ia tidak selesa untuk perjalanan yang jauh.
Nak jalan jauh? Kita ada Proton Saga yang lebih selesa dan lebih solid pengendaliannya. Namun atas beberapa faktor seperti penggunaan bahan api dan juga penyelengaraan yang lebih tinggi menyebabkan Saga sukar untuk mengatasi jualan ketiga-tiga model Perodua berkenaan. Proton sedar akan kelemahan tersebut, dan ini dia Proton Saga MC3 2026!
Sudah banyak perincian berkenaan Saga MC3 ini sudah kami tulis. Untuk perincian awal dan pelbagai informasi berkenaan pembangunannya boleh anda baca pada PAUTAN INI, spesifikasi untuk setiap varian boleh anda baca pada PAUTAN INI, harga ketika dilancarkan pada PAUTAN INI, malah kami juga sudah diberi peluang untuk memandunya terlebih dahulu di litar ujian Proton di Tanjung Malim di mana laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Dan sekarang tiba masanya untuk kami sajikan laporan pandu uji penuh Saga MC3 ini di mana kami bersama sekumpulan media automotif tempatan telah dijemput untuk menyertai satu sesi pandu uji yang bermula dari Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya, ke Taman Negeri Royal Belum di Perak. Kami diberikan peluang untuk menguji dua varian bagi Saga MC3 ini iaitu varian pertengahan Executive yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM44,990 dan juga varian tertinggi Premium berharga RM49,990 – kedua-dua harga yang dinyatakan adalah tanpa diskaun RM1,000 yang akan tamat pada 31 Disember ini.
Seperti yang telah ramai tahu, dua varian ini bukan hanya dibezakan dengan beberapa kelengkapan rupa, keselesaan dan keselamatan, malah kedua-duanya diberikan kotak gear yang berbeza di mana varian Executive diberikan transmisi automatik keonvensional empat kelajuan 4AT, manakala varian Premium pula menerima kotak gear CVT automatik. Perbezaan ini telah membentuk sedikit karekteristik pemanduan yang berbeza antara kedua-duanya, dan kami akan kupasnya dalam artikel ini.
Rasanya tak perlu lagi penulis ulas panjang lebar berkenaan rupa luaran Saga MC3 ini. Semua sudah tahu dan nampak bahawa sebahagian besar panel badan Saga MC3 ini termasuk ukuran jarak antara roda (2,465 mm) dan juga lebar (1,690 mm) masih sama dengan model MC2 kerana ia masih diasaskan dari platform yang sama.
Cuma kerangkanya telah diperkuat contohnya diberikan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk. Dengan tingkat taraf tersebut Proton menyatakan bahawa platform berkenaan kini diberikan nama baharu iaitu Advanced Modular Architecture (AMA), dan ia adalah platform modular yang akan menjadi asas kepada lebih banyak model-model baharu yang dibangunkan sendiri oleh Proton selepas ini.
Selain dari rupa, sorotan paling utama sudah tentulah pada lampu hadapan yang kini sudahpun menggunakan projektor LED bersama jalur lampu nyalaan siang LED bina dalam, di mana Saga MC3 ini menjadi Saga pertama yang menerima lampu sedemikian. Dan jangan tak tahu, ketiga-tiga varian Saga MC3 ini menerima lampu yang sama, cuma pada varian paling rendah iaitu Standard fungsi lampu nyalaan siang ditukar kepada hanya lampu maghrib, serta tidak diberikan fungsi automatik sama ada pada lampu rendah atau lampu tinggi.
Gril Saga MC3 ini direka agak besar seakan gril pada Proton X90 – ada yang nampak cantik, dan juga pendapat rekaan ini agak melebih-lebih. Apa yang menarik, motif pada gril berkenaan diinspirasikan dari corak tenunan kain songket. ‘Misai’ pada gril ini seperti biasa ia diinspirasikan dari busur panah – namun pada penulis ia mengingatkan kepada rekaan gril Proton era 90’an, secara spesifiknya seperti gril Iswara, Wira dan Perdana di mana bahagian tengahnya merupakan bahagian untuk diletakkan logo ‘Wau’ Proton.
Beralih ke bahagian belakang, Saga kini diberikan lampu belakang dengan jalur grafik LED seakan lampu pada ‘abangnya’ iaitu S70. Juga sama seperti S70, jalur lampu yang merentangi sepenuhnya penutup but belakang hanya diberikan pada varian tertinggi, manakala Exec dan Standard didatangkan dengan bar hitam tanpa sebarang pencahayaan.
Kedua-dua varian Premium dan Exec diberikan tayar Atlas AS380 185/55R15 yang dibalut pada rim aloi 15-inci dengan rekaan jejari yang sama. Namun hanya untuk Premium rim tersebut menerima kemasan dua tona hitam-aloi digilap, sementara pada Exec ia hanya dalam kemasan perak.
Varian Premium juga diberikan skirt sisi dan kerangka tingkap pintu kemasan hitam, membolehkan ia nampak berbeza dari Executive pada sebalah luar. Varian paling tinggi ini juga diberikan suis pembuka but belakang yang tersorok di bawah bar lampu, berbanding penutup but Executive yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh atau tuil dari dalam kabin.
Masuk ke kabin, Premium dan Exec diberikan papan pemuka dan juga skrin yang serupa. Pada bahagian tengah, skrin sesentuh sembilan-inci tersebut memberikan fungsi yang sama untuk kedua-dua varian iaitu sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta larasan-larasan lain berkaitan fungsi-fungsi yang dibekalkan.
Skrin TFT tujuh-inci untuk paparan instrumen digital sepenuhnya juga sekali imbas nampak sama antara Premium dan Exec, namun jika anda lihat dengan teliti skrin untuk Premium turut diberikan paparan untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Paparan ADAS berkenaan memberikan kedudukan yang jelas kedudukan kenderaan yang ada pada bahagian kiri dan kanan Saga ini yang dikesan menerusi sistem pemantau titik buta, serta kedudukan kenderaan hadapan menerusi kamera monokular yang digunakan untuk fungsi brek kecemasan automatik. Bukan hanya kereta yang dikesan dan dipaparkan menerusi skrin ini, malah ia secara spesifik boleh mengesan dan memaparkan grafik motosikal dan mengetahui garis jalan serta selekoh di hadapan. Rasanya hanya Saga MC3 Premium ini sahaja yang memberikan skrin ‘acah-acah Tesla’ seperti ini dengan harga jualan hanya RM50k.
Dengan susun atur skrin baharu ini juga membolehkan liang penghawa dingin yang kini didakwa menerapkan rekaan inspirasi dari permainan congkak diletak pada tempat sepatutnya, tidak terlalu rendah seperti pada MC2. Penulis juga bersyukur Proton tidak mengambil langkah untuk ‘jimatkan kos’ dengan memindahkan suis-suis kawalan pendingin hawa ke dalam skrin, sebaliknya masih mengekalkan suis-suis fizikal yang jauh lebih mudah untuk digunakan. Malah suis-suis tersebut juga kini berada pada kedudukan lebih tinggi dan lebih mudah dicapai dari sebelum ini.
Penulis juga perasan bahawa lampu kabin pada Saga MC3 ini masih diambil dari model MC2 sebelum ini. Tidak ada masalah dengan fungsi dan kegunaan, tapi penulis rasakan ada ‘spoil’ sikit kerana Proton sudah berkerja keras untuk memberikan imej rekaan ‘melayu’ dan ‘Malaysia’ pada kabin Saga ini seperti liang udara ‘congkak’ dan motif ‘ombak laut’ pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi motif corak ‘dinding tembok besar China’ rekaan Geely masih ada pada perumah lampu kabin tersebut.
Dan antara yang paling penulis suka pada kabin Saga MC3 ini adalah roda stereng yang diambil terus dari model-model lebih mahal dari siri-S dan siri-X, serta tombol gear yang kini direka seakan tombol gear manual. Dua komponen ini pada penulis adalah penting untuk memberikan lebih sensasi terhadap pemanduan – diameter pada roda stereng yang diberikan tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil, ‘sedap-sedap’ digenggam, serta diberikan rekaan rata di bawah memberikan rasa yang cukup sporty, begitu juga genggaman yang dapat dirasai pada tombol penukar gear.
Saga Premium menerima balutan upholsteri kulit sintetik pada tempat duduk, manakala bagi varian Exective pula ia hanya diberikan balutan fabrik dengan motif corak ‘ombak laut’. Bukan itu sahaja, Premium dan Executive juga menerima tempat duduk pemandu yang berbeza di mana untuk Premium ia diberikan larasan tinggi-rendah sepenuhnya, manakala Exec pula larasan tinggi-rendah hanya pada bahagian peha dan menggunakan tombol putar. Walau bagaimanapun pada kedudukan larasan paling rendah, tempat duduk Exec memberikan posisi duduk lebih rendah, sementara Premium terasa agak ‘bertenggek’ dan penulis tidak dapat melihat ke hadapan sekiranya pelindung cahaya matahari diturunkan.
Untuk tempat duduk belakang, ia masih lagi sama seperti Saga MC2 sebelum ini di mana ia memberikan ruang lutut yang cukup baik, bumbung yang tinggi memberikan ruang kepala yang lega dan juga tempat duduk dengan penyandar belakang yang tidak terlalu tegak membolehkan penumpang lebih relaks untuk perjalanan jauh. Apa yang baharu adalah penumpang belakang kini turut diberikan perehat kepala boleh laras yang menambah lagi keselesaannya. Tiada liang penghembus pendingin hawa untuk kabin belakang? Tak perlu pun sebab kabin Saga ini bukanlah besar mana, udara hembusan dari hadapan sudah cukup untuk membuatkan penumpang kabin belakang dapat menerima udara sejuk dengan cepat.
Boleh dikatakan separuh perjalanan kami perlu menempuh cuaca hujan. Dan ini menyerlahkan lagi elemen kualiti pada Saga di mana bahan penebat yang diberikan cukup untuk tidak membuatkan bunyi hentaman air hujan ke bumbung dan percikan air dari tayar tidak terlalu kuat masuk ke dalam kabin. Malah untuk sebuah kereta entry level, NVH Saga MC3 ini memang patut dipuji kerana bunyi enjin dan bunyi tayar juga kurang masuk ke kabin. Cuma bunyi angin pada kelajuan tinggi sahaja agak kuat.
Namun itu adalah untuk varian Premium. Untuk varian Executive, bunyi enjin yang masuk ke kabin boleh didengar lebih kuat sedikit. Ini kerana untuk Exec, ia tidak diberikan penebat pada penutup bonet depan, penutup but belakang dan keempat-empat pintu. Namun pembeli boleh memilih untuk memasang penebat-penebat ini dengan bayaran tambahan RM605.
Ok, sekarang kita masuk ke forte tradisi Saga iaitu pemanduan serta Ride & Handling. Seperti yang sudah dicanang, antara perubahan terbesar yang diberikan pada Saga adalah pada unit rangkaian kuasanya di mana khidmat enjin S4PE 1.3 liter empat silinder Campro VVT telah pun ditamatkan, dan ia kini digantikan dengan enjin BHE15-CFN 1.5 liter empat silinder i-GT.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa 120 PS pada takat 6,100 rpm dan juga tork 150 Nm pada takat 4,400 rpm, atau 25 PS/30 Nm lebih berkuasa dari enjin sebelum ini. Tak kira dengan kotak gear CVT atau 4AT, enjin ini sememangnya memberikan pecutan yang jauh lebih baik dari Saga MC2 sebelum ini. Proton tidak mendedahkan di dalam brosur atau dalam web rasminya, namun ketika acara Proton Tech Showcase yang berlangsung awal bulan ini Proton memberitahu bahawa Saga MC3 ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.6 saat, atau 3.2 saat lebih pantas dari Saga MC2 yang mencatatkan masa 14.8 saat untuk pecutan sama.
Namun angka tersebut tidak diberitahu sama ada atau menggunakan kotak geat 4AT atau CVT, jadi kami lakukan sendiri ujian pecutan berkenaan – dalam keadaan basah, Proton Saga MC3 Executive dengan kotak gear 4AT mampu mencatatkan masa terpantas 13.8 saat, sementara Saga MC3 Premium dengan kotak gear CVT membuat pecutan sama dengan masa satu saat lebih pantas iaitu 12.6 saat. Jadi angka rasmi Proton berkenaan mungkin dari versi CVT dan dibuat dalam keadaan yang lebih ideal.
Seperti yang penulis beritahu tadi, rasa pecutan bagi Saga MC3 ini memang jauh lebih pantas dari MC2, namun ia tidaklah rasa benar-benar pantas. Malah penulis rasakan Honda City dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS/145 Nm adalah jauh lebih pantas walaupun sedan segmen-B itu lebih besar dan juga lebih berat (Honda mendakwa City mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.4 saat).
Ada yang bertanya, antara kotak gear 4AT dan CVT, yang mana lebih baik? Kami difahamkan kotak gear 4AT yang dibekalkan oleh Aisin pada Saga MC3 ini masih sama dengan unit pada MC2. Cuma dengan tork dari enjin yang lebih tinggi menjadikan kotak gear ini jauh lebih responsif. Setiap kali pedal pendikit ditekan dengan mengejut untuk memecut, gear terus diturunkan dengan pantas untuk memberikan tujahan pecutan. Manakala untuk cruising, Saga dengan kotak gear 4AT ini boleh mengekalkan kelajuan 110 km/j di atas lebuh raya dengan putaran enjin 2,800 rpm.
Beralih kepada Saga MC3 Premium yang menggunakan kotak gear CVT, anda masih akan terasa seperti sebuah kereta manual di mana pemandunya melepaskan pedal klac secara perlahan-lahan ketika mula bergerak, kerana kotak gear keluaran Punch Powertrain ini masih menggunakan mekanisma start-clutch untuk memisahkan dan menyambungkan kuasa putaran dari enjin ke kotak gear.
Kemudian enjin akan meraung sekejap sehingga mendapat padanan putaran enjin dan kelajuan yang ideal – ini adalah sifat semula jadi untuk semua kotak gear CVT, bukan untuk Proton sahaja. Dan untuk makluman bagi mereka-mereka yang masih terbayang ‘raungan’ enjin tidak tentu hala dan juga bunyi seperti pesawat mahu berlepas pada model-model awal Proton yang menggunakan CVT, masalah ini sudah lama lenyap bermula pada model-model sekitar tahun 2016. CVT Punch terkini yang digunakan oleh Proton adalah jauh lebih responsif, talaan nisbah yang lebih baik serta beroperasi dengan senyap.
Malah ia diperhalusi lagi pada kotak gear CVT yang digunakan pada Saga MC3 ini. Kami difahamkan bahawa Punch Powertrain membekalkan kotak gear berkenaan dengan nisbah khas mengikut karekteristik enjin i-GT Proton baharu tersebut, berlainan dengan kotak gear sebelum ini yang dihasilkan lebih universal untuk kegunaan pelbagai jenama.
Penulis dapat rasai sendiri kelainan pada kotak gear ini di mana pada kelajuan putaran enjin berada pada 2,000 rpm ia dapat memberikan kelajuan kereta pada 85 km/j, berbanding sebelum ini pada putaran enjin yang sama ia hanya memberikan kelajuan 70 km/j. Dan pada kelajuan 110 km/j, putaran enjin juga lebih relaks dari versi 4AT di mana enjin hanya berputar pada kelajuan 2,600 rpm – memberikan pemanduan yang lebih senyap dan juga lebih jimat bahan api.
Atas kertas Proton menyatakan bahawa Saga MC3 dengan kotak gear 4AT akan memberikan penggunaan bahan api 5.1 liter/100 km manakala untuk CVT pula adalah 4.9 liter/100 km. Kami menguji penggunaan bahan api ini sepanjang perjalanan ke Taman Negeri Royal Belum. Ketika melalui Lebuhraya Utara Selatan, kami diberikan varian Exec yang menunjukkan purata penggunaan bahan api adalah pada 5.8 liter/100 km, dengan corak pemanduan sekali sekala melebihi had kelajuan kebangsaan.
Manakala untuk varian Premium dengan kotak CVT, kami mengujinya pada jalan yang lebih mencabar iaitu ketika mula masuk ke Kuala Kangsar dan menggunakan Lebuhraya Timur-Barat untuk menuju ke Gerik. Jalan ini memerlukan kami banyak kali untuk berhenti dan bergerak kembali apabila tiba di kawasan pekan-pekan yang mempunyai simpang dan lampu isyarat, serta mendaki dan menuruni bukit. Jadi penggunaan bahan apinya juga adalah lebih tinggi apabila kami merekodkan 6.9 liter/100 km. Walaupun jauh tersasar dari apa yang didakwa oleh Proton, namun penulis berpendapat angka berkenaan masih lagi jimat berdasarkan keadaan jalan yang kami lalui.
Kita tahu Proton belajar membuat platform dan kerangka badan adalah menerusi pemilikannya terhadap jenama kereta sport British iaitu Lotus. Karekteristik ‘Lotus Ride Handling’ pada model-model Proton ketika itu bukan hanya dibuat ketika proses talaan suspensi, malah ia dibentuk menerusi platform dan kerangka badan itu sendiri – dan asas untuk Proton Saga ini adalah warisan dari zaman berkenaan walaupun Lotus kini bukan lagi milik Proton.
Jadi karekteristik pengendalian Saga yang tajam dan lincah sebelum ini masih kekal ada pada model MC3 ini, malah ia diperhebatkan lagi. Jika sebelum ini anda boleh rasa walaupun bahagian ‘kepala’ Saga ini sangat mudah mengikut putaran stereng untuk masuk ke selekoh dengan kelajuan tinggi, bahagian belakangnya akan terasa sedikit ‘bergoyang’ dan kurang stabil.
Tetapi masalah itu sekarang sudah lenyap pada MC3. Ketika dipaksa untuk masuk ke selekoh dengan lebih laju, bahagian belakang sedan ini masih boleh dikawal dengan elok dan macam tak percaya ia hanya menggunakan konfigurasi torsion beam!
Bukan hanya lebih sporty, aspek keselesaan juga dipertingkat pada talaan baharu pada suspensi Saga ini. Kalau anda biasa menggunakan Terowong Menora, mesti tahu garisan speed breaker yang begitu tebal pada atas jalan ketika menurun bukit selepas terowong berkenaan bukan? Saga MC3 ini bagi penulis adalah antara ‘kereta murah’ paling baik untuk menyerap hentakan yang terhasil ketika melalui garisan tersebut.
Jadi apalah sangat dengan keadaan jalan di Lebuhraya Timur Barat yang beralun dan tidak rata. Suspensi Saga ini dapat menyerap keadaan jalan dengan sangat baik membolehkan ia dipandu stabil walaupun pada kelajuan tinggi. Memang ngam sangatlah Proton bawa kami uji Saga MC3 ini di jalan tersebut.
Berbanding Saga MC2 yang masih menggunakan sistem stereng hidraulik, Saga MC3 kini sudahpun menerima tingkat taraf menggunakan sistem bantuan kuasa elektrik (EPS), dimana ia lebih mudah diselenggara kerana tidak menggunakan cecair bendalir. Kami difahamkan sistem ini merupakan sistem baharu sepenuhnya yang dibangunkan oleh Proton tanpa menggunakan sebarang komponen dari Iriz/Persona mahupun dari mana-mana parts bin Geely.
Jadi Proton dapat mengekalkan DNA pengendaliannya pada sistem EPS ini. Pada kelajuan rendah stereng berkenaan terasa lebih ringan dari sistem hidraulik memudahkan anda membuat pusingan-U, memarkir dan sebagainya. Namun pada kelajuan tinggi, stereng berkenaan memberikan rasa pemanduan yang cukup baik – ia bukan sahaja responsif, malah memberikan tindak balas yang tepat tentang apa yang terjadi pada permukaan jalan raya.
Bukan mudah untuk menghasilkan stereng EPS sebegini. Kalau tidak percaya anda boleh rasa stereng EPS untuk model-model yang jauh lebih mahal, khususnya dari jenama China – stereng yang dihasilkan adalah ringan semata-mata dan langsung tidak memberikan input kepada pemandu ‘berinteraksi’ dengan kereta. Malah sistem stereng EPS Proton S70 juga tidak ‘sedap’ seperti Saga MC3 ini kerana komponen yang dihasilkan masih oleh Geely dan Proton cuma dapat membuat talaan yang berbeza dari Geely Emgrand.
Satu lagi penulis nak cerita adalah berkenaan perbandingan antara kotak gear CVT dan 4AT ketika melayan jalan berbukit dan berliku di Lebuhraya Timur-Barat – Ya, kedua-dua kotak gear ini memberikan pengalaman berbeza dalam situasi seperti ini.
Pada asalnya penulis ramalkan kotak gear 4AT mungkin lebih sedap untuk melayan laluan sebegini. Namun ada beberapa situasi yang menyebabkan kotak gear berkenaan berlakunya ‘gear hunting’ di mana ia seperti keliru untuk membuat keputusan untuk berada pada kedudukan gear 2 atau gear 3. Kalau ada pedal penukar gear, mungkin situasi ini tidak akan berlaku, atau sekurang-kurangnya ada kedudukan L-D-OD pada tombol gear yang membolehkan pemandu menentukan sendiri kedudukan gear yang sepatutnya digunakan.
Sebaliknya untuk varian Premium dengan kotak gear CVT, ia sentiasa memberikan nisbah yang paling optimal pada setiap laluan selekoh, membolehkan pemandu ‘melayan’ dengan lebih sempurna dengan putaran enjin serta kelajuan yang tepat. Jadi memang tak salah Proton memilih kotak gear CVT ini untuk varian Premium ini bukan sahaja kerana ia lebih jimat bahan api, lebih senyap pada kelajuan tinggi, pecutan yang lebih baik, malah ia juga cukup sporty untuk diajak bermain di selekoh.
Dengan enjin dan kuasa yang lebih besar, Saga MC3 ini juga sebenarnya telah menerima tingkat taraf pada sistem brek. Kami difahamkan bahawa Saga MC3 menerima pam brek utama yang lebih besar, angkup dan juga cakera brek masih sama tetapi menggunakan pad brek dengan material yang menampilkan pekali geseran dengan nilai μ yang lebih tinggi. Dan hasilnya memang jelas, pedal brek terasa jauh lebih responsif ketika ditekan dalam apa jua situasi berbanding model MC2 terdahulu.
Kita tidak boleh lari untuk membandingkan Proton Saga MC3 ini dengan Perodua Bezza kerana jika anda perlukan sebuah sedan untuk pengangkutan harian, but yang besar untuk mengangkut barangan dan dengan harga RM50,000, hanya dua model ini sahaja yang boleh di pilih di Malaysia.
Atas kertas spesifikasi bagi Saga MC3 Premium memang sudah jelas mengatasi Bezza 1.3 AV dari segi kuasa enjin, kelengkapan dan juga keselamatan, walaupun harga Saga hanya lebih mahal RM10 berbanding Bezza. Dari segi penjimatan bahan api Saga mungkin tidak sejimat Bezza, namun ia adalah jauh lebih jimat dari Saga MC2 terdahulu, dan ia setimpal dengan kuasa tambahan yang diberikan. Malah dengan enjin baharu yang sudah beralih dari timing belt ke timing chain, kami dapati juga kos penyelenggaraan Saga MC3 ini adalah lebih rendah dari Bezza untuk lima tahun pertama.
Jadi dengan semua faktor ini, penulis rasakan Proton Saga MC3 bakal menjadi ‘Supercar Rakyat’ baharu untuk rakyat Malaysia – bukanlah bermakna kereta ini akan kita sering jumpa berada di lorong paling kanan di lebuhraya, maksud penulis Saga MC3 ini akan menjadi sebuah kereta yang boleh digunakan untuk hampir semua aktiviti harian, dijual pada harga marhaen, tetapi tidak terasa seperti sebuah kereta yang murah. Syabas Proton!
GALERI: Gambar rasmi sesi pandu uji media Proton Saga MC3 2026
GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT
GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT
GALERI: Proton Saga 2026 Standard 4AT
The post PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 Premium CVT dan Executive 4AT – ‘Supercar’ baharu rakyat Malaysia! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































































































































































































































































































































































