Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengulas mengenai SUV saiz sederhana, Mazda CX-60, yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada September lalu. Di Malaysia, CX-60 ditawarkan dengan satu varian sahaja iaitu 2.5 High, berharga dari RM200,510 tanpa insurans. Harganya memang agak mahal disebabkan ia merupakan versi import sepenuhnya (CBU), dibawa masuk dari Jepun.
Jika anda mempunyai perancangan untuk membeli sebuah SUV dengan paras harga antara RM200,000 ke atas, CX-60 ini boleh dikatakan relevan untuk diletakkan dalam senarai pilihan. Selain itu, CX-60 juga pilihan yang bersesuaian jika pemilik SUV CX-5 mahu up grade kenderaan sedia ada.
Namun begitu, sebelum anda membuat pilihan yang tepat, mungkin ulasan pandu uji dari kami ini boleh membantu memberikan serba sedikit gambaran mengenai CX-60.
CX-60 ini merupakan SUV crossover saiz sederhana yang juga merupakan model pertama dalam kumpulan Mazda Large Product, CX-60 2025 ini dibangunkan di bawah platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture yang direka untuk menampung elektrifikasi masa hadapan dan memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat.

Ia diberikan enjin SKYACTIV®-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan output 191 PS (189 hp atau 141 kW) pada 6,000 rpm dan tork 261 Nm pada 3,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi baharu automatik lapan-kelajuan torque converter untuk memberikan kuasa pecutan yang responsif seperti mana yang diingini oleh pemandu. Menurut Mazda, transmisi baharu ini juga memberikan pecutan tepat pada masanya tanpa perlu mengubah atau mengurangkan pendikitan.
Mengenai prestasi sewaktu mengendalikanya, jika anda seorang pemandu yang tidak begitu kisah sangat dengan jentera yang memberikan kepaduan berskala sederhana, CX-60 ini cukup bersesuaian.
Memang angka prestasi bagi enjin tercatat 2.5 liter, namun ada situasi tertentu di mana penjana kuasa itu seakan tidak begitu memberikan prestasi yang diharapkan. Contohnya, jika anda menaiki laluan berbukit, kerahan tenaga memang diperlukan, terasa juga SUV ini agak berat untuk memuntahkan kuasanya.
Bagi yang pernah memandu CX-5 2.5 turbo, pasti akan lebih menyenangi prestasinya berbanding dengan enjin berkapasiti yang sama tapi tanpa turbo yang ada pada CX-60 ini. Ini kerana untuk memecut atau pun memulakan pergerakan dengan kelajuan yang tinggi, CX-60 terasa agak ‘berat’ dan tidak begitu terus memberikan tenaganya. Tetapi apabila mencapai kelajuan yang diingini terutamanya ketika memandu di lebuhraya, pemanduan terasa lancar dan linear, menjadikannya sebuah kenderaan yang sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Namun taruhan utama bagi SUV ini ialah keselesaan. Ya, ia cukup selesa, bukan setakat pada pemandu, bahkan penumpang juga merasainya. Ketika dipandu, ruang dalaman CX-60 terasa senyap dengan sistem suspensi yang menjalankan tugas dengan baik untuk memastikan penumpang kekal selesa.
Tetapi saya bukanlah hendak menyatakan bahawa suspensinya sebagai terlalu empuk, tetapi ia tidak terasa keras atau kasar. Sekaligus memberikan keseimbangan yang baik antara keselesaan dan kawalan. Selain itu, NVH CX-60 ini juga wajar diberi pujian kerana turut memberikan kabin yang agak sunyi sehingga bunyi dari luar hampir tidak kedengaran.
Selain lebuhraya, CX-60 juga seronok dipandu di laluan berselekoh kerana ia mampu menyerlahkan kredibiliti SUV ini. Bagai tak terasa mengendalikan SUV yang bersaiz agak besar ini ketika melalui selekoh tajam atau permukaan yang kurang rata. Walau pun masih terasa sedikit olengan badan, namun CX-60 mampu kembali stabil dengan agak cepat, sekaligus memberikan lebih keyakinan ketika melalui laluan berselekoh.
Difahamkan bahawa CX-60 ini memiliki ketegaran badan yang dipertingkatkan yang membantu pemandu merasai kepuasan dalam pemanduan yang lebih jitu. Di samping itu, sistem suspensinya iaitu double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang, telah menerima talaan yang lebih terperinci bagi memberikan kestabilan kedudukan dan keseimbangan kenderaan ketika dipandu.

Selain itu, seperti barisan model baharu Mazda di Malaysia, CX-60 turut dilengkapi dengan Kinematic Posture Control (KPC), iaitu sistem kawalan brek yang akan menstabilkan semula kenderaan di selekoh tajam. Di mana ia mengoptimumkan prestasi suspensi untuk pergerakan badan yang lancar dan pengendalian stabil, walaupun pada kelajuan tinggi.
Suspensi belakangnya direka untuk mengurangkan daya angkat, menurunkan badan semasa membrek bagi kestabilan yang lebih baik. Dengan mengawal postur kenderaan di bawah G-Force yang tinggi, KPC meningkatkan ketepatan kawalan, keyakinan pemandu dan prestasi keseluruhan. Gabungan teknologi ini memastikan CX-60 memberikan pengalaman pemanduan yang dinamik namun terkawal, sama ada di jalan berturap mahupun di laluan sederhana lasak.
Mazda mendakwa langkah ini membantu “menarik” kenderaan ke bawah dan menstabilkannya ketika melalui selekoh dengan mengurangkan olengan badan. Malahan sistem ini cukup berfungsi untuk meningkatkan daya brek sekiranya pemandu memecut ketika melalui selekoh. Walau bagaimana pun, sistem secanggih ini tidak boleh dijadikan ‘tiket’ untuk anda memandu secara agresif yang melampau terutamanya ketika melalui jalan berselekoh ya.
Dengan falsafah rekaan Kodo Mazda, ia benar-benar terserlah pada CX-60 ini, di mana struktur badannya kelihatan lebih tegap dengan imej garisan yang jelas dan berotot, direka untuk mencengkam jalan dengan penuh keyakinan. Walau pun nampak macam tak banyak beza dengan imej luaran bagi model terkini Mazda yang lain, namun apa yang dipersembahkan inilah daya tarikannya.
Setiap ciri yang ditampilkan memang nampak moden namun bukan futuristik atau over rekaannya. Ini termasuklah gril hadapan dengan profil yang lebih tinggi, ditambah pula dengan lampu hadapan LED baharu dengan Signature Illumination yang disertakan sekali fungsi automatik bagi tahap pencahayaan dan on/off, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED. Pertama kali Mazda memperkenalkan gaya lampu bertindan menegak dan pencahayaan signitur berbentuk-L yang unik untuk bahagian hadapan dan belakang.
Ciri kelengkapan luaran lain untuk CX-60 ini termasuklah rim aloi pelbagai-jejari rona perak metalik bersaiz 20-inci dibaluti tayar profil 235/50/R20, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan, bumbung suria panoramik dengan Sliding & Tilt Glass, pintu tailgate berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuh, kunci automatik walkaway serta pengesan parkir hadapan dan belakang.
Begitu juga dengan bahagian kabinnya, di mana bentangan susun atur rekaannya tidak sarat dan ia lebih diperkemaskan supaya kelihatan lebih segar dan elegan. Untuk bahagian papan pemuka dan konsol tengahnya, ia dilapisi balutan material kulit soft touch dengan jahitan kontras, sedikit sebanyak menampakkan ciri lebih sofistikated dan mewah.

Bila masuk ke ruang dalam, kita boleh perasan tempat duduk penumpang hadapan dipisahkan dengan kolum tengah yang besar dengan bahagian pemandu. Nampak tidak sempit dan boleh memberikan ruang antara keduanya dengan lebih selesa.
Selain itu, semua kawalan di dalam kenderaan termasuk rotary dial yang digunakan untuk navigasi menerusi skrin infotainmen berada dalam posisi tepat dan mudah dikendalikan oleh pemandu. Sentuhan pada roda stereng juga memiliki elemen mewah, dan kehadiran pedal penukar gear pula menambahkan karakter sporty pada CX-60.
Penampilan kluster instrumen digital 12.3-inci antara ciri yang lebih segar, sebelum ini kluster instrumen digital digabungkan antara analog dengan digital. Dan pengendaliannya juga tidak serumit sesetengah panel instrumen yang ada pada kenderaan dari pengeluar China. CX-60 ini juga diberikan ketersambungan CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah butang start/stop enjin, brek parkir elektronik (EPB), Active Driving Display dengan paparan yang dipancarkan ke cermin hadapan, tempat duduk hadapan kawalan elektrik 10-hala dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, upholsteri kulit hitam, sistem bunyi BOSE® dengan 12-pembesar suara dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.
Ia juga diberikan cermin pandang belakang tanpa bingkai dengan auto-kelam, roda stereng balutan kulit dengfan suis kawalan audio dan bebas tangan Bluetooth, pedal penukar gear, suis pemilih mod pemanduan (Normal, Sport), tombol gear balutan kulit, penyaman udara hadapan dwi-zon automatik dengan corong udara di belakang, empat unit port USB (Type C) dan 360° View Monitor.
Cuma jika sebagai penumpang belakang, ruang yang ada mungkin tidak begitu selesa buat individu yang tinggi atau berbadan besar terutamanya jika melibatkan perjalanan jarak jauh. Ruangnya bukanlah sempit cuma agak kecil sedikit berbanding pesaingnya Honda CR-V.
Kalau bab aspek keselamatan pula, bersesuaian dengan harga yang ditawarkan kerana CX-60 memang kaya dengan Ciri keselamatan dan bantuan pemandu yang terkini. Ia diberikan tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), cagak ISOFIX dan Bantuan Mula Mendaki (HLA).
Selain itu, ia juga dilengkapi ciri keselamatan termaju yang merangkumi Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Hadapan dan Belakang, Sistem Amaran Ketibaan Lorong, Sistem Bantuan kekal Lorong (LAS) dengan Bantuan kekal Jalan, Kepekaan Perhatian Pemandu dengan fungsi Pemantauan Pemandu, Sokongan Brek Pintas (SBS), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan Stop & Go dan Sokongan Trafik dan Kelajuan Santai (CTS).
Secara konklusi, dengan harga atas jalan dari RM200,510, ternyata penawaran yang ada untuk CX-60 termasuk prestasi, pengendalian dan kelengkapannya dilihat berbaloi. Jika anda lebih memilih paras rupa yang menawan serta keselesaan yang jitu, pemilihan CX-60 ini dilihat bertepatan. Soal prestasi pula ia berskala sederhana tetapi memadai. Nak kata tak best, best jugalah bila memandunya, cuma memang tak sesuai untuk anda jika suka pemanduan yang agresif. Apa pun, pilihan terletak di tangan anda berdasarkan keperluan VS Kehendak.
The post PANDU UJI: Mazda CX-60 2.5 High 2025 – prestasi sederhana tetapi memadai, keselesaan bonus utama appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































































































































































