Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan (JSPT) Bukit Aman telah melaksanakan Op Lancar sempena perayaan Deepavali 2025 dari 17 hingga 21 Okt lalu. Ia dilaksanakan dengan objektif meminimumkan kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri, sepanjang lima hari operasi itu, statistik kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan sebanyak 5.2% iaitu 8,940 kes berbanding 8,498 pada tahun 2024. Walau bagaimana pun, kes kemalangan maut menurun sebanyak 9.8% iaitu 82 kes berbanding 90% pada tahun sebelumnya. Manakala jumlah kematian akibat kemalangan juga menurun 12% iaitu 85 orang berbanding 96 mangsa pada 2024.

“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal menjadi penyumbang tertinggi kematian akibat nahas jalan raya iaitu melibatkan seramai 61 orang, namun jumlahnya menurun 20% berbanding tahun 2024 dengan 76 kematian.

Op Lancar Deepavali 2025 catat 5.2% peningkatan kemalangan, nahas maut menurun 9.8% – JSPT

“Jalan bandaran pula mencatatkan kemalangan tertinggi dengan 3,952 kes (44%), diikuti jalan negeri (18.4%) dan jalan persekutuan (13.3%). Sebanyak 43,379 saman telah dikeluarkan pada operasi kali ini berbanding 52,090 saman tahun lalu. Ini menunjukkan pengurangan saman sebanyak 17% bersamaan 8,711 saman,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau menambah, berdasarkan penurunan jumlah kematian dan pengeluaran saman, ia menunjukkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya semakin meningkat.

Op Lancar Deepavali 2025 ini juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain dan jabatan dalam PDRM, sejajar dengan slogan “Selamat Bersama JSPT”. “Usaha ini berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan,” kata Mohd Yusri lagi.

Op Lancar Deepavali 2025 catat 5.2% peningkatan kemalangan, nahas maut menurun 9.8% – JSPT

Sepanjang lima hari operasi itu juga, katanya, sebanyak 9.9 juta kenderaan telah menggunakan Lebuhraya PLUS (termasuk LPT2), 1.2 juta kenderaan di LPT1 dan 619,173 kenderaan di Lebuhraya WCE.

“Berikutan pertambahan kenderaan berdaftar sebanyak 37.5 juta (setakat Disember 2024), menyebabkan berlakunya peningkatan aliran trafik terutamanya pada musim perayaan. Oleh itu, kehadiran petugas JSPT di lapangan telah membantu mengawal dan menyuraikan kesesakan lalu lintas, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna jalan raya.

“Selain itu, sikap pemandu yang berhemah, berhati-hati dan fokus pada pemanduan turut memainkan peranan penting dalam usaha kerahaan bagi mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2030,” katanya lagi.

The post Op Lancar Deepavali 2025 catat 5.2% peningkatan kemalangan, nahas maut menurun 9.8% – JSPT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts