Model edisi khas Omoda C9 Matte Black Limited Edition yang diperkenalkan Disember lalu kini dipertontonkan kepada umum di acara jelajah di 1 Utama, lokasi sama pelancaran varian Omoda C9 PHEV sebelum ini. Kehadiran model ini nyata mencuri perhatian dengan penampilan lebih garang dan eksklusif.
Berdasarkan perkongsian beberapa pengedar di media sosial, penghantaran kepada pelanggan dilaporkan sudah pun bermula. Menariknya, jumlah unit bagi edisi terhad ini dikatakan antara 100 hingga 120 unit sahaja, tetapi angka tepat masih belum disahkan. Model ini juga dipercayai ditawarkan dalam varian pacuan semua roda (AWD) sahaja, sesuatu yang dapat diperhatikan melalui penggunaan angkup brek berwarna merah.
Seperti namanya, kemasan hitam kusam menjadi identiti utama model ini, namun tidak semua bahagian diberikan sentuhan tersebut. Panel ‘OMODA’ di atas gril masih mengekalkan kemasan hitam berkilat, manakala jalur pada bampar belakang serta kemasan sisi di bahagian bawah pintu masih menggunakan elemen krom.
Antara komponen yang menerima kemasan hitam berkilat termasuklah jalur pada splitter hadapan, panel tengah diffuser belakang, rim aloi bersaiz 20 inci, rel bumbung serta bahagian bawah penutup cermin sisi. Untuk ruang kabin pula, tiada perubahan ketara dilakukan dan ia kekal seperti model standard.
Kami diberitahu, pakej kosmetik ini ditawarkan pada harga RM3,000. Ini bermakna harga bagi Omoda C9 AWD yang asalnya RM188,800 akan meningkat kepada RM191,800 dengan penambahan pakej tersebut. Setakat ini, Omoda | Jaecoo Malaysia masih belum mengumumkan sama ada pakej ini boleh dipasang pada unit sedia ada.
Sebagai imbasan, Omoda C9 yang dipasang di Shah Alam dan dilancarkan pada Disember 2024 merupakan SUV segmen D yang dijana enjin 2.0 liter turbo empat silinder, menghasilkan kuasa 261 PS dan tork 400 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, serta sistem suspensi MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang. Bagi varian AWD, ia turut dilengkapi sistem suspensi adaptif Continuous Damping Control bagi meningkatkan tahap keselesaan dan kawalan pemanduan.
The post Omoda C9 Matte Black Limited Edition di Malaysia – unit terhad, penghantaran sudah bermula, RM192k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.










































