Omoda & Jaecoo Malaysia (O&J) baru saja menunjukkan iklan teaser bagi dua model baru untuk acara Omoda & Jaecoo Carnival, namun ada satu lagi model dilihat yang mungkin merupakan model baru ketiga syarikat itu di sini. Dalam paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook, seorang pengguna, Rick Tan membuat sebuah hantaran gambar dua model SUV yang belum dilancarkan — yang dilihat di SS15 Subang Jaya. Walaupun lencananya ditutup, namun model berkenaan tampil dengan sangat jelas.

Rekaan lampu belakang zig-zag menjadikannya begitu jelas — kita sedang melihat Omoda C7, sebuah SUV segmen C yang akan mengisi kedudukan antara Chery Omoda 5 (selepas ini akan menjadi Chery C5) dan Omoda C9 dalam pasaran tempatan — dan melengkapi juga penawaran Jaecoo J7. Ia sebelum ini pernah ditunjukkan di Malaysia Autoshow pada Mei lalu, dan pernah dilihat sedang diuji di lebuh raya, dan kini syarikat itu sedang mengambil pendafaran minat melalui laman webnya. Untuk itu, pelancarannya boleh dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat.

Untuk pasaran tempatan, walaupun ia pernah ditunjuk di Bangkok pada Mac lalu dalam bentuk plug-in hybrid, C7 di sini mungkin akan dijual dalam bentuk enjin petrol. Ia dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder petrol, dengan janaan 150 PS pada 5,500 rpm dan 275 Nm tork dari 2,000 hingga 3,500 rpm (di pasaran lain janaannya ada yang menjadi 197 PS dan 290 Nm). Ini digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan pacuan semua roda.

Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini?

Versi PHEV model ini pula akan berkongsi teknologi Super Hybrid System (SHS) yang sama dengan J7 PHEV. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan janaan 156 PS/220 Nm yang disertai oleh motor elektrik 204 PS/310 Nm dan juga transmisi khusus hibrid DHT berkelajuan tunggal. Output keseluruhan sistem ialah 360 PS dan 530 Nm, iaitu 13 PS dan 5 Nm lebih tinggi berbanding J7 PHEV.

Walaupun dengan lebihan kuasa, C7 PHEV memecut 0-100 km/j dalam masa yang sama dengan J7 PHEV dalam 8.5 saat. Bateri lithium iron phosphate (LFP) 18.3 kWj Blade dari BYD itu adalah sama antara keduanya, dan memberikan jarak 95 km. Jarak keseluruhan yang boleh dicapai pula iala 1,250 km.

Antara kelebihannya ialah gril corak bersegi yang luas, corak lampu “Design ID” yang bersepadu dengan bampar depan, stereng dengan dua jejari serta skrin sentuh 15.6-inci untuk infotainmen yang boleh dialih ke sebelah penumpang.

Omoda & Jaecoo Malaysia akan mempertontonkan Jaecoo J5 dan Omoda C9 PHEV di acara karnival anjuran mereka di Desa Park City, bermula 21 hingga 24 Ogos nanti. Jadi, adakah ketiga-tiga model ini akan dilancarkan dalam tahun ini?

The post Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts