2025 FIA World Rally Championship / Round 08 / Rally Estonia / 17-20 July 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
Juara kelas WRC2 Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2025, Oliver Solberg telahpun mengesahkan tempatnya untuk naik ke kategori tertinggi perlumbaan berkenaan selepas diberi peluang oleh Pasukan Rali Dunia Toyota Gazoo Racing (TGR-WRT), memandu jentera GR Yaris Rally1 bagi musim penuh WRC 2026.
Oliver yang juga merupakan anak kepada bekas juara dunia WRC 2003 iaitu Petter Solberg diberikan peluang berkenaan setelah beraksi cemerlang pada musim ini, bukan sahaja menunjukkan kemampuannya bergelar juara WRC2 dengan memandu GR Yaris Rally2 pasukan Printsport, malah memenangi Rally Estonia 2025 menerusi kemunculan sulungnya bersama jentera GR Yaris Rally1, seterusnya menghadiahkan kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC.
“Tahun ini merupakan tahun yang menakjubkan buat saya sebagai sebahagian dari keluarga Toyota Gazoo Racing. Kami capai sasaran utama untuk menang kejohanan WRC2 bersama dan mengharungi musim yang laju dan konsisten dengan GR Yaris Rally2. Selepas itu kami dapat peluang untuk berlumba di Estonia dengan kereta Rally1, yang merupakan minggu yang hebat.
“Sekarang saya dapat peluang ini untuk kembali ke tahap tertinggi WRC, jadi banyak impian telah menjadi kenyataan buat saya tahun ini dan saya sangat bersyukur untuk menjadi sebahagian dari pasukan yang hebat. Kami perlu menjadi realistik kerana kami masih perlu banyak belajar dengan jentera Rally1, tetapi kami akan berseronok dan buat sehabis baik yang kami mampu,” kata Solberg.
Untuk musim depan Oliver Solberg yang kini berumur 24 tahun masih lagi akan berpasangan dengan juru arahnya iaitu Elliott Edmondson. Pasangan ini akan menyertai barisan pemandu-pemandu sedia ada skuad TGR-WRT iaitu Elfyn Evans, Takamoto Katsuta dan juga Sami Pajari.
Juara dunia lapan-kali Sebastien Ogier masih akan memandu secara sambilan untuk TGR-WRT bagi menyertai pusingan-pusingan tertentu dalam musim WRC 2026, manakala juara dunia dua kali Kalle Rovanpera telahpun mengumumkan persaraannya dalam WRC apabila berakhir musim ini bagi menyertai perlumbaan single seater Super Formula di Jepun bermula tahun depan.
Toyota telah pun sah dinobat sebagai juara dunia bagi kategori pengeluar buat kali ke-9 selepas habis Central European Rally 2025 pada bulan lalu, walaupun perlumbaan musim ini masih berbaki dua pusingan. Manakala perebutan gelaran juara dunia untuk kategori pemandu masih lagi terbuka untuk tiga pelumba Toyota iaitu Elfyn Evans, Sebastien Ogier dan juga Kalle Rovanpera dengan berbaki satu lagi rali iaitu Rally Saudi Arabia yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.
The post Oliver Solberg sah diberi tempat untuk pandu jentera Rally1 pasukan Toyota bagi musim penuh WRC 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















